KUALA TERENGGANU, 16 Mei - Jalinan kerjasama antara Telekom Malaysia dan Yayasan Pembangunan Ushawan Terengganu (YPU) telah membantu usahawan Terengganu untuk mengembangkan peniagaan mereka menerusi platform digital.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata Program Kelestarian Usahawan Digital yang dianjurkan oleh Yayasan TM merupakan usaha yang sangat baik bagi memastikan teknologi hari ini dimanfaatkan untuk mencapai kemajuan dalam dunia perniagaan.
"20 peserta akhir yang terpilih daripada 100 orang ini telah memberikan respon dan reaksi yang sangat baik, menceritakan kejayaan mereka setelah melalui bimbingan selama enam bulan ini.
"Mereka bukan baru hendak memulakan perniagaan tetapi telah pun memiliki perniagaan, kursus yang diadakan ini adalah bagi mendedahkan peserta kepada ilmu digital.
"Terutamanya melaui aplikasi TikTok sekarang ini yang semakin ke hadapan namun para peserta sebelum ini tidak tahu bagaimana untuk mencari kaedah terbaik bagi menarik orang ramai jadi mereka diajar bagaimana memanfaatkan platform ini untuk mencapai kejayaan lebih baik," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Majlis Penutup Program Kelestarian Usahawan Digital Terengganu, di Restoran Jambatan Angkat, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Pengarah Yayasan TM, Ainol Shaharina Sahar berkata program yang diadakan itu merupakan salah satu inisiatif impak sosial pihaknya.
"Bertujuan untuk memperksasakan usahawan kecil menerusi latihan dan penyelesaian perniagaan digital bagi menjamin pendapatan yang mampan untuk sosio-ekonomi yang lebih baik.
"Justeru itu, modul program ini telah dirangka secara berstruktur merangkumi seluruh eskosistem, bermula dari sesi latihan berkala berkaitan pemasaran dan penjenamaan digital, penciptaan kandungan dan seterusnya bimbingan serta pemantauan oleh tenaga pengajar.
"Para usahawan terpilih juga turut menerima pakej Digital Marketing Solution (DMS) bagi menyokong transformasi perniagaan digital mereka," ujarnya.