• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

100 MPKK Kuala Terengganu Terima Bantuan Projek Mesra Rakyat (PMR)

 

Oleh : AHMAD SABRI YUSOF

KUALA TERENGGANU: 27 Ogos – Sebanyak 100 buah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang terdapat dalam Parlimen Kuala Terengganu, masing-masing menerima agihan sumbangan Projek Mesra Rakyat (PMR).

Manakala, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok sahaja 33 daripada 36 buah MPKK menerima sumbangan PMR tersebut.

Pembantu Khas Parlimen DUN (Dewan Undangan Negeri) Batu Burok, Tuan Ngah Tuan Ahmad berkata, daripada 33 MPKK yang terima bantuan PMR ini, 21 MPKK menerima dalam bentuk sumbangan perbekalan.

Katanya, 12 MPKK lain diberi bantuan dalam bentuk projek fizikal seperti membaiki jalan kampung, balai raya, longkang, bina wakaf dan lain-lain.

“Kita dalam DUN Batu Burok ini ada 36 MPKK semuanya. 33 MPKK yang memohon dapat bantuan PMR melalui Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

“Daripada 33 MPKK itu pula, 21 MPKK dapat dalam bentuk projek perbekalan seperti peralatan dan kelengkapan pejabat pengurusan. Manakala, 12 MPKK lagi dapat dalam bentuk projek fizikal,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Projek Mesra Rakyat (PMR) di Balairaya MPKK Kampung Lorong Haji Da atau Che Kundur, DUN Batu Burok, Kuala Terengganu, 23 Ogos lalu.

Setiap MPKK diberi peruntukan itu sebanyak RM10,000 berupa peralatan untuk projek perbekalan seperti komputer, printer, alatan siaraya, peralatan memasak, dapur, kanopi, peralatan sukan dan lain-lain.

Pada17 Ogos lalu, majlis yang sama melibatkan dua buah MPKK Kampung Tiong dan MPKK Pejabat Bandaran di bawah DUN Bandar diadakan sekaligus di Pejabat MPKK Kampung Tiong, Kuala Terengganu.

Pembantu Khas Parlimen DUN Bandar, Syed Mohammad Suhaimi Syed Mohamad mewakili, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Yang Berhormat (YB) Ahmad Amzad Hashim.

Sumbangan peralatan bernilai RM10,000 itu diterima oleh Pengerusi MPKK Kampung Tiong, Saudara Mohammed Yusop dan Pengerusi MPKK Pejabat Bandaran, Puan Maliha Mohd Esoff.

Parlimen Kuala Terengganu mempunyai 108 buah MPKK yang melibatkan empat DUN iaitu DUN Batu Burok, DUN Bandar, DUN Ladang dan DUN Wakaf Mempelam.
 


Tag:

Artikel Berkaitan