KUALA TERENGGANU, 15 Mei - Kerajaan negeri bersama 20 usahawan telah terbang ke Indonesia bagi memasarkan 100 produk yang dikenal pasti memiliki potensi besar untuk dikembangkan dan mendapat sambutan yang baik dari negara republik itu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, segala produk yang dibawa untuk dipasarkan ke negara terbabit sehingga 16 Mei telah memenuhi syarat persijilan halal serta berkualiti.
Katanya, delegasi kerajaan negeri ke Indonesia itu merupakan kesinambungan setelah syarikat dari negara terbabit PT Larra World telah mengadakan kunjungan ke negeri ini.
"Sebelum ini hanya membabitkan sembilan usahawan yang telah pun berjaya memasarkan produk mereka ke Indonesia.
"Jadi pada kali ini kita akan pasarkan lebih banyak produk kita ke sana bagi mengembangkan lagi potensi bagi menembusi pasaran Indonesia sebagaimana yang kita maklum rakyatnya 10 kali ganda lebih ramai daripada kita yang menjadikan pasaran terbuka luas," ujarnya.
Beliau berkata demkian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Majlis Penutup Program Kelestarian Usahawan Digital Terengganu, di sini, baru-baru ini.
Ariffin berkata, produk dari negeri ini tidak mengalami kesukaran untuk mendapat tempat di hati rakyat Indonesia seperti Keropok Lekor, Nasi Dagang malah katanya Sardin Pertima juga diyakini berpotensi untuk mendapat sambutan positif.
"Hasrat kita bukan sahaja mahu produk kita berada di pasaran Asia Tenggara tetapi ke negara-negara lain termasuk Timur Tengah.
"Saya yakin setelah berjaya menembusi pasaran luar ini usahawan kita akan berkembang lebih maju," ujarnya.