BESUT, 28 Ogos — Pengorbanan bekas anggota polis dan tentera dalam mempertahankan keamanan serta kedaulatan negara mendapat penghargaan apabila kira-kira 100 veteran diraikan menerusi Majlis Makan Apresiasi Pahlawan Sempena Merdeka di Jerteh, petang ini.
Program anjuran Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh itu diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan golongan veteran pasukan keselamatan yang pernah mempertaruhkan nyawa demi menjaga keamanan serta kedaulatan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, penghargaan terhadap veteran perlu diteruskan bagi memastikan jasa dan pengorbanan mereka tidak dilupakan, khususnya dalam kalangan generasi masa kini.
“Bersempena bulan kemerdekaan ini, kita mahu mereka tahu bahawa jasa dan pengorbanan mereka masih diingati.
"Mungkin hari ini kudrat tidak lagi seperti dahulu, namun khidmat bakti dan pengorbanan yang pernah dicurahkan untuk negara tetap besar nilainya di hati kita,” jelasnya.

Beliau menambah, kerjasama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan sekitar DUN Jerteh turut membantu mengumpulkan veteran untuk diraikan dalam program berkenaan.
“Sudah tentu sebuah majlis tidak akan mampu membalas segala jasa dan pengorbanan yang telah mereka curahkan kepada negara, tetapi sekurang-kurangnya ia menjadi tanda bahawa jasa mereka tetap dikenang dan dihargai,” katanya.
Justeru itu, beliau berharap usaha menyantuni golongan veteran secara berterusan dapat menjadi budaya dalam masyarakat, selain menyemarakkan semangat patriotisme dan kesedaran mengenai pentingnya menghargai keamanan yang dikecapi hari ini.
