• 13 Mei 2024 | 5 Zulkaedah 1445

10,000 Pengunjung Dijangka Hadir Minggu Sains Negara


Kira-kira 10,000 pengunjung, termasuk pelajar dan golongan belia dijangka hadir pada Minggu Sains Negara peringkat Negeri Terengganu 2018 di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Chendering, Kuala Terengganu.

Program selama tiga hari yang  akan berakhir pada 5 April itu menyajikan pelbagai program menarik bertujuan menyemai kesedaran dan minat  orang ramai khususnya pelajar terhadap ilmu sains.

Antaranya Sea To Space Expo, pameran dan bengkel, cerapan matahari, cerapan langit siang dan malam, tayangan astronomi dan paling istimewa panampilan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Al Musrie Sheikh Mustapha.

Manakala bagi Science Troopersz sempena program sama turut diadakan melibatkan semua daerah termasuk Kemaman dan Setiu.

Science Troopersz diadakan di sekolah-sekolah terpilih, antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketengah Jaya, Dungun;   SMK Landas, Hulu Terengganu; SMK Lembah Bidong, Setiu dan Pasar Jertih, Besut.

Program itu berlangsung selama lima hari, bermula 1 April.

Ketua Pegawai Operasi PSKT,  Afnida Alwi, berkata program berkenaan pastinya mampu  memberi manfaat kerana dapat mendalami bidang sains secara lebih dekat serta secara praktikal.

“Oleh itu, pihak kami berharap orang ramai mengambil peluang  hadir ke program yang dianjurkan secara percuma itu dengan membawa keluarga masing-masing,” katanya.

Perasmian program dijangka disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.



Tag: