Jalur Gemilang
Berita :
104 Ahli Kontinjen PARA SUKMA Galas Amanah Negeri Terengganu
104 Ahli Kontinjen PARA SUKMA Galas Amanah Negeri Terengganu
Mohd Irsyadi Abu Bakar
20 jam yang lepas
44

KUALA TERENGGANU, 2 September -  Seramai 104 orang yang terdiri daripada atlet, jurulatih, pengurus dan pengiring dan urusetia Kontinjen PARA SUKMA Terengganu 2026 bakal membawa amanah besar untuk mengharumkan nama Negeri Terengganu di temasya PARA SUKMA Selangor 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim memaklumkan, kontinjen Terengganu akan menyertai 10 jenis sukan yang menawarkan 316 acara.

"Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada semua atlet yang kekal untuk terus mempertaruhkan nama Negeri Terengganu dalam gelanggang temasya PARA SUKMA.


"Dengan persiapan yang telah dilakukan, semangat juang yang tinggi serta sokongan semua pihak, kita yakin kontinjen ini mampu memberikan aksi terbaik apabila temasya bermula pada 5 hingga 10 September nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Para SUKMA Negeri Terengganu di Ar-Riyadah Residence, semalam.

Menurutnya, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) yang pertama kali bertindak sebagai penyelaras PARA SUKMA meletakkan sasaran 38 pingat iaitu sembilan Emas, 13 Perak dan 16 Gangsa.

Kontinjen ini akan diketuai oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Mohd Fadhli Rahmi bin Zulkfli, dibantu oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Asmadi bin Mohamad sebagai timbalannya.

"Tentu sekali ini pengalaman baru buat pengarah dan pegawai-pegawai MSNT.

"Tentu sekali ada kekurangan dan ada perkara yang kita tidak sedari kerana ia adalah pengalaman kali pertama.
"Jangan cepat menghukum, tetapi banykkan perbincangan. Elakkan berprasangka, tetapi kita berkomunikasi supaya maklumat berkenaan boleh (digunakan) untuk kita mantapkan pada masa akan datang," tambahnya.

Dalam pada itu, Hishamuddin turut menyatakan bahawa atlet-atlet PARA SUKMA akan menerima insentif kemenangan yang sama dengan atlet-atlet SUKMA lalu.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan