• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

11 Mercu Tanda Asia Tenggara Kini Produk Pelancongan Terengganu

KUALA NERUS, 8 November – Sebanyak 11 replika mercu tanda terkenal negara ASEAN telah dilabuhkan di dasar laut Pulau Bidong melalui projek khas, 'The 1st ASEAN Underwater Mini Landmark' (AUMIL) hari ini sekali gus mencipta sejarah di Asia Tenggara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Seri Nancy Shukri berkata, produk pelancongan baharu tersebut akan menjadi pameran Warisan Budaya Bawah Air ASEAN yang pertama dalam sejarah ASEAN.

Menurutnya, pada kedalaman 10 sehingga 15 meter, projek kebudayaan tersebut telah diluluskan pada 2019 dengan jumlah peruntukan RM 290,955 (USD 70,000) di bawah Tabung Kebudayaan ASEAN.

“Kita akan mengalakkan pelancong daripada negara-negara jiran ini untuk datang kembali ke Terengganu sekaligus meningkatkan ekonomi penduduk tempatan serta menaikkan nama negeri yang sinonim dengan produk perikanan.

“Terutamanya golongan penyelam skuba dan fotografi bawah air daripada antarabangsa, Pulau Bidong bakal menjadi syurga buat mereka.

"Monumen ini adalah tambahan baharu di dasar laut Bidong yang juga mempunyai khazanah sejarah daripada kapal-kapal karam daripada tamadun Asia lama,” katanya.

Antara Mercu tanda ASEAN di dasar Pulau Bidong

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian AUMIL di Pulau Bidong, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Wira Dr. Noor Zari Hamat, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Professor Dr. Mazlan Abd Ghaffar serta Duta Besar negara-negara ASEAN di Malaysia.

Tran Quoc Pagoda (Vietnam)

Tambahnya lagi, selain menggalakkan usaha memulihara dan memelihara warisan budaya bawah air, AUMIL juga akan memupuk penghargaan budaya yang lebih tinggi di kalangan masyarakat ASEAN.

Antara 11 monumen tersebut ialah Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur-KLCC (Malaysia), Masjid Sultan Haji Omar Ali Saifuddien (Brunei), Cambodia Independence Monument (Cambodia), Patuxai Monument (Laos), Indonesia National Monument (Indonesia), Shwedagon Pagoda (Myanmar), Jose Rizal Monument (Filipina), Merlion (Singapura), Wat Arun Ratchawararam Ratchaworamahawihan (Thailand) dan Tran Quoc Pagoda (Vietnam) serta lambing ASEAN Secretariat (ASEAN).

Menggunakan kepakaran dan kemahiran anak tempatan dari kampung Tok Badir, Bukit Payong, Kuala Terengganu, 11 replika mercu tanda ini berjaya disiapkan dalam tempoh hampir dua bulan.

Replika Masjid Sultan Haji Omar Ali Saifuddien (Brunei)