KUALA TERENGGANU, 15 Februari – Seramai 140 penerima daripada komuniti sekitar Kampung Pok Kiang menerima agihan limau mandarin sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal diraikan dalam beberapa hari lagi.
Program yang dianjurkan itu terus menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan masyarakat setempat, khususnya komuniti Siam di kampung berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila lebih 80 peratus penduduk hadir bersama-sama memeriahkan program tersebut.
Menurut beliau, kehadiran ramai penduduk tanpa mengira kaum mencerminkan semangat perpaduan yang kukuh dan keharmonian yang telah lama terjalin di kawasan itu.
“Program ini sempena perayaan dan perayaan memang bermusim. Namun, tindakan dan pendekatan kita bukan hanya ketika musim perayaan sahaja.
“Tiada perayaan yang berlangsung setiap hari atau setiap minggu. Jadi walaupun program ini bermusim, khidmat dan perhatian kepada masyarakat berjalan sepanjang tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menjelaskan, pelbagai inisiatif lain turut dilaksanakan secara berterusan termasuk menziarahi penduduk bukan Islam yang sakit, menghadiri majlis kematian, membaiki rumah uzur, menyediakan bantuan perumahan, menurap jalan serta menyelenggara kemudahan awam seperti membersihkan parit tersumbat.
Katanya lagi, segala bantuan dan perhatian diberikan tanpa mengira bangsa dan agama, selaras dengan komitmen kepimpinan negeri yang menyantuni semua lapisan masyarakat.
“Kita dapat melihat kepimpinan YAB Menteri Besar Terengganu sentiasa menyantuni semua kaum tanpa mengira agama dan latar belakang. Ini menafikan dakwaan bahawa perhatian hanya diberikan kepada satu kelompok sahaja.
“Pelbagai program dan inisiatif yang dilaksanakan membuktikan kebajikan masyarakat bukan Islam turut diberi perhatian sewajarnya,” ujarnya.
