lightning-solid
Berita :
154 Rakyat DUN Kijal Terima Geran Hak Milik Tanah
154 Rakyat DUN Kijal Terima Geran Hak Milik Tanah
Hafiz Rosli
12 jam yang lepas
134

KEMAMAN, 2 Mac - Seramai 154 rakyat daripada 14 Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) tapak kediaman dan pertanian di DUN Kijal menerima geran hak milik masing-masing dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata, penyerahan geran tersebut merupakan bukti komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan hak pemilikan tanah rakyat diselesaikan secara sah dan teratur. 

Katanya, usaha melaksanakan RTB akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat memiliki tapak kediaman dan pertanian sendiri.

“RTB yang terlibat termasuk Pondok Pasir, Jong Belabuh, Darat Kijal, RAKR Teluk Kalong, Beris Nenas, Titian Berayun, Pengkalan Cicar dan Meraga Beris. 

“Sepanjang empat penggal, DUN Kijal menjadi DUN paling banyak melaksanakan RTB di peringkat Daerah Kemaman. Geran ini bukan sekadar dokumen, tetapi jaminan masa depan kepada keluarga penerima. 

“Kita mahu rakyat Kijal mempunyai pemilikan yang sah serta lebih yakin untuk merancang kehidupan dan pembangunan ekonomi mereka,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Dokumen Hakmilik bagi Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Bangunan Kediaman dan Tapak Pertanian Dun Kijal bertempat di Dewan Badminton Kampung Ibok semalam.

Sementara itu, Nor Isma Othman, penduduk asal Kijal melahirkan rasa syukur dan terharu apabila akhirnya menerima geran hak milik selepas menunggu sekian lama.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memudahkan proses penyerahan geran tersebut.

“Semoga geran yang diterima ini memberi manfaat dan jaminan masa depan yang lebih baik kepada kami sekeluarga,” ujarnya.


Tag :

Artikel Berkaitan