lightning-solid
Berita :
166 Anak Yatim Paka Terima Bantuan Persekolahan
166 Anak Yatim Paka Terima Bantuan Persekolahan
Amiirullah Mansor
21 jam yang lepas
67

DUNGUN, 8 Januari - Seramai 166 orang anak yatim daripada 101 keluarga di sekitar Paka menerima baucar bantuan persekolahan bernilai RM150 setiap seorang menerusi Program Sumbangan Bantuan Persekolahan Sesi 2026, sebagai persediaan menghadapi pembukaan sesi persekolahan baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata setiap kali menjelang musim persekolahan, keutamaan diberikan bagi memastikan anak-anak yatim Darul Aitam Paka dapat melangkah ke sekolah dengan lebih yakin dan penuh senyuman.

“Apabila sekolah hampir dibuka, di situlah bermulanya fasa persiapan. Kita mahu pastikan anak-anak yatim ini tidak tercicir, malah hadir ke sekolah dengan keyakinan dan semangat untuk belajar,” katanya.

612208328_1420272982794684_3220062018082785270_n.jpg 427.22 KB

Beliau berkata, bantuan baucar tersebut bertujuan meringankan beban keluarga dalam menyediakan keperluan asas persekolahan seperti pakaian, kasut dan peralatan belajar.

“Nilainya mungkin tidak besar, tetapi maknanya cukup mendalam. Sekecil bantuan, besar ertinya kepada keluarga dan anak-anak ini untuk memulakan sesi persekolahan dengan lebih teratur,” ujarnya.

Tambah beliau, program berkenaan juga diharap menjadi suntikan semangat kepada anak-anak yatim untuk terus mengejar ilmu dan membina masa depan yang lebih baik.

“Saya amat berharap bantuan ini dapat memberi motivasi kepada mereka untuk terus berusaha, rajin belajar dan tidak pernah berasa rendah diri dengan keadaan hidup,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang yang menjayakan program berkenaan.

“Terima kasih kepada semua yang menyumbang. Semoga setiap kebaikan ini dibalas dengan seribu satu ganjaran, dilimpahkan rezeki berlipat ganda dan sentiasa diberkati oleh Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dipetik menerusi media sosial rasminya semalam. 

611170528_1420273079461341_5250201816681567763_n.jpg 463.37 KB


Tag :

Artikel Berkaitan