KUALA TERENGGANU, 5 Mac - Seramai 194 orang murid Sekorah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) telah berjaya memperolehi keputusan 9A daripada 407 orang calon dalam Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) bagi tahun 2025.
Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT), dalam satu kenyataan berkata, lebih membanggakan pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS) 1.18 berbanding 1.24 pada tahun 2024 sekali gus menunjukkan peningkatan ketara dan jelas mengatasi peringkat negeri dan kebangsaan.
"Ini membuktikan bahawa budaya kecemerlangan yang dibina mampu melonjakkan institusi ke tahap yang lebih tinggi dan kompetitif.
"Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada guru-guru, barisan pentadbir, ibu bapa serta seluruh warga sekolah yang menjadi pemangkin kepada kejayaan ini.
"Keikhlasan dan komitmen tuan-tuan dan puan-puan (ibu bapa pelajar) adalah aset paling bernilai dalam melahirkan generasi berilmu, berinovasi dan beradab," jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, JPINT mengharapkan agar keputusan cemerlang itu akan menjadi inspirasi untuk terus memperkasa pendidikan Islam dan membentuk generasi rabbani yang unggu pada masa hadapan.
"Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat,"katanya.
Sehubungan itu juga pihak JPINT menyifatkan kejayaan itu bukan sekadar angka tetapi manifestasi usaha berterusan, disiplin ilmu serta keberkatan didikan yang diterapkan sejak awal.
"Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT atas pencapaian cemerlang murid-murid SRIDI dalam UPKK tahun 2025," ujar kenyataan itu.
Tag :