• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

2020 Pendikir Muda Terengganu Lakar Sejarah Malaysia Book Of Record


KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Seramai 2,020 orang pendikir Terengganu berjaya mencatat sejarah apabila diiktiraf Malaysia Book Of Record (MBOR) melalui 'The Largest Multilingual Dikir Barat Performance' dalam Himpunan Pendikir Muda Terengganu 2020, semalam.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman merakamkan rasa terima kasih kepada 84 kumpulan dikir pelbagai peringkat yang terlibat dalam menjayakan persembahan tersebut.
 
"Alhamdulillah, kita telah diiktiraf sebentar tadi dan saya bangga dengan anak-anak muda Terengganu atas kejayaan memecahkan rekod ini.
 
Barisan pendikir terdiri daripada 84 kumpulan dikir pelbagai peringkat.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu atas usaha sama dan sokongan yang diberikan," katanya ketika ditemui pemberita selepas program berkenaan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, semalam.
 
Jelasnya, pasukan pendikir muda itu berjaya mempersembahkan lapan bahasa kepada masyarakat iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Jepun, Cina, Jawa, Hindi, Arab dan Thailand.
 
Sementara itu, Pengerusi Penggiat Seni Dikir Barat Terengganu, Sulizi Che Awang berkata, pasukannya mengambil masa sekitar dua bulan untuk menjayakan persembahan itu.
 
"Bila sampai saat dan ketikanya kita kumpulkan mereka untuk selaraskan persembahan tersebut dan hasilnya alhamdulillah.
 
Cikgu Sulizi 'orang lama' dikir barat Terengganu.
"Inilah satu impian saya membuat himpunan pendikir Terengganu sekali gus melakar rekod baharu Malaysia," katanya.
 
Tambahnya, lapan bahasa yang dipilih berdasarkan kemampuan artis-artis dikir yang dibawa.
 
"Ini juga menunjukkan dikir barat ini bukan sahaja boleh dipersembahkan dalam bahasa Melayu tetapi juga bahasa-bahasa lain dengan karektor masing-masing," kata penggiat seni yang telah mencurahkan usaha selama 32 tahun dalam dunia dikir barat itu.
 
Dalam program anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu), anugerah MBOR disampaikan oleh pegawai penyelidiknya, Nurul Fatihah Mahmood.
 
Turut hadir, Pengarah Tourism Terengganu, Ab. Rasid Jusoh dan Timbalan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Azman Osman.
 
Halim Yazid turut ketuai persembahan di Himpunan Pendikir Muda Terengganu 2020.