• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

25 Pemancing Houseboat Tasik Kenyir Disahkan Negatif COVID-19

MARANG, 14 Mac - Keputusan ujian calitan atau 'swab test' kali pertama COVID-19 ke atas 25 pemancing yang menggunakan perkhidmatan rumah bot (houseboat) di Tasik Kenyir adalah negatif.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, individu terlibat sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing untuk kuarantin kendiri. ntuk meneruskan kuarantin selama 11 hari.

"Kesemua mereka akan menjalani ujian calitan kali kedua pada hari kelapan untuk memastikan benar-benar bebas daripada wabak pandemik COVID-19 itu.Oleh itu, tiada lagi perkara yang timbul berkaitan COVID-19 di Tasik Kenyir

"Bagaimanapun kerja-kerja sanitasi telah dilakukan di rumah bot berkenaan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak perebakan penyakit berjangkit," katanya.

​​​​​​Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan pasca banjir oleh Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) di Kampung Pak Madah di sini hari ini.

Turut hadir Presiden MTC, Uzaidi Udanis; Setiausaha Kehormat MTC, Datuk Noor Zaleha Baharuddin dan Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim.

Jumaat lepas, tular di media sosial mengenai 24 pemancing dikuarantin di rumah bot susulan seorang daripada rakan mereka dikesan sebagai kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Bagaimanapun, pemancing yang dikatakan positif itu hanyalah kontak rapat kepada pesakit COVID-19.

Kesemua mereka difahamkan menginap di rumah bot berkenaan sejak Khamis lalu, kira-kira pukul 9 pagi.

Dalam masa yang sama, Ariffin berkata, orang ramai tidak perlu bimbang untuk berkunjung ke Tasik Kenyir mahu pun pulau-pulau peranginan kerana destinasi ini lebih selamat berbanding di daratan.

"Rumah bot di Tasik Kenyir adalah selamat untuk dijadikan lokasi percutian kerana disertai sekelompok individu dalam jumlah yang tidak ramai.

"Ini lebih selamat berbanding di daratan, malah dengan pematuhan SOP yang ditetapkan sekarang, kita yakin penularan COVID-19 dapat dicegah sebaik mungkin ketika dalam tempoh percutian," jelasnya.