• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

256 Pelajar Cemerlang DUN Pengkalan Berangan Terima Anugerah


Hari Anugerah Kecemerlangan Pelajar.
Oleh: Khairan Mat Jusoh

MARANG, 12 April - Seramai 256 pelajar yang cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) diraikan dan menerima anugerah kecemerlangan kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, majlis itu bagi menghargai dan mengiktiraf usaha yang telah dilakukan mereka hingga mencapai kejayaan.

Jelasnya, anugerah itu secara tidak langsung akan menjadikan mereka lebih bermotivasi untuk mencapai kejayaan di peringkat yang lebih tinggi.

"Hari ini kita kita telah berjaya menyempurnakan hari anugerah kecemerlangan pelajar peringkat DUN (Dewan Undangan Negeri) Pengkalan Berangan.

"Majlis yang cukup bermakna dan bersejarah bagi adik-adik pelajar dan kita doakan supaya mereka dapat mengambil peluang dan keraian ini untuk mereka lebih bersemangat bagi menyambung pengajian mereka ke peringkat seterusnya," jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Pelajar DUN Pengkalan Berangan, di Dewan Al-Ghazali Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan, kelmarin.

Sulaiman Sulong.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Pegawai Pendidikan Daerah Marang, Mohamad Nawawi Rani, guru-guru kanan SMK dalam DUN Pengkalan Berangan serta ibu bapa murid yang cemerlang.

Sementara itu, menurut Mohamad Nawawi, penganjuran majlis itu merupakan sesuatu yang cukup bermakna pada murid yang berjaya.

Ujarnya, majlis yang kali pertama diadakan di peringkat DUN itu adalah sebagai sokongan daripada pihak kerajaan kepada warga pendidik.

"Kita mengucapkan tahniah dan syabas kepada YB (Yang Berhormat) Sulaiman Sulong yang dapat mengadakan majlis meraikan  kecemerlangan pelajar DUN Pengkalan Berangan yang seingat saya anugerah yang pertama  di dalam parlimen Marang ini.

"Insya-Allah majlis penghargaan ini akan memberikan satu penghormatan kepada kami warga pendidikan khususnya guru-guru, pelajar-pelajar yang menerima anugerah dan juga para ibu-bapa dan penjaga.

"Alhamdulillah terima kasih banyak-banyak YB atas sokongan kepada kami warga pendidikan,".




Tag: