• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

3 Tahun Mentadbir, 70 Peratus Manifesto Dilaksana

KUALA TERENGGANU, 10 Mei – Sempena genap tiga tahun pentadbiran Kerajaan Terengganu hari ini, pelbagai kejayaan dicapai termasuk pelaksanaan 70 peratus manifesto iaitu 14 daripada 20 janji dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tanggal 10 Mei ini sangat penting untuk menyemak dan meraikan pelbagai pencapaian seterusnya melonjakkan kejayaan untuk tahun-tahun berikutnya.

“Alhamdulillah, dalam masa 3 tahun, sebanyak 70 peratus manifesto telah dilaksanakan.

“Malah, melalui Jawatankuasa Induk Manifesto Negeri Terengganu, meletakkan sehingga akhir tahun 2021 ini, tambahan 4 lagi agenda manifesto akan dilaksanakan, menjadikan jumlahnya 18 daripada 20 manifesto atau 90 peratus,” jelasnya dalam Perutusan Khas Sempena 3 Tahun Pentadbiran Kerajaan Terengganu. 

Ujar Ahmad Samsuri, walaupun dalam keadaan suasana ekonomi yang mencabar, dan wabak pandemik COVID-19 yang ada, kerajaan negeri tetap berusaha untuk menunaikan janji yang telah  diberikan kepada rakyat.

“Langkahan yang telah kita bina selama 3 tahun ini, akan terus kita pacu secara bersama, untuk masa hadapan Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera. Namun, harus kita sedari, bahawa kita berada pada zaman yang sukar, dan berbeza dari sebelum ini.

“Oleh kerana itu, corak pentadbiran kerajaan negeri juga, perlu mengikut realiti zaman yang ada, terutamanya ketika berhadapan dengan rakyat yang semakin kompleks. Penglibatan rakyat, NGO, kumpulan sasar tertentu akan menjadi antara penanda aras, dalam mendapatkan apa jua maklum balas untuk pertimbangan kerajaan.

“Kerajaan Negeri Terengganu, mesti bergerak seiring dengan keadaan semasa, dan perkembangan perubahan yang berlaku. InsyaAllah, dengan kerjasama semua pihak, bermula dari pihak atas hingga rakyat, kita mampu memberikan masa depan yang baik, untuk negeri Terengganu,” tambah beliau.


Tag: