• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

30 Tahun Sabasun Bertapak, 300 Usahawan IKS Terengganu Terima Manfaat

DUNGUN, 19 Februari - Kerajaan negeri sangat menghargai peranan yang dimainkan Sabasun selama ini kerana selama menjalankan aktiviti perniagaan sejak 30 tahun yang lalu telah memberi manfaat kepada lebih 300 usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) dari negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, selama tempoh berkenaan dilihat aktiviti perniagaan dijalankan oleh pihak Sabasun bukan hanya menguntungkan syarikatnya sahaja tetapi telah membantu ramai rakyat negeri ini.

"Sabasun telah memberikan sumbangan yang besar kepada rakyat dengan memberi peluang kepada mereka yang terlibat dalam industri IKS ini.

"Sehingga ramai orang kampung yang boleh menghantar barangan mereka ke pasaraya ini, bukan sedikit jumlah mereka yang terlibat tetapi ramai melalui dan menjadi platform untuk bergantung yang memberii impak ekonomi kepada rakyat negeri ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Solat Hajat dan pecah Tanah Sabasun Dungun, di sini, hari ini.

Dalam pada itu Pengurus Besar Sabasun, Che Salmi Che Ibrahim berkata sehingga kini melalui 300 usahawan IKS lebih 2000 produk telah dihasilkan dengan memberikan pulangan pendapatan yang lumayan iaitu RM2.5 juta sebulan.

"Sehingga kini menjadi satu-satunya pasar raya yang tidak mengenakan sebarang caj tambahan, asalkan kualiti bertepatan dan memenuhi citarasa untuk usahawan Terengganu berdikari dan terus maju," katanya.

Ujarnya lagi, pihaknya sangat mengalu-alukan jika ada mana-mana pihak yang ingin meneroka peluang menghasilkan produk baru ataupun sedia ada untuk dipasarkan di pasar rayanya itu.

"Dengan syarat perlu mendaftar di Sabasun Wakaf Tembesu dan setiap barangan itu akan melalui pemeriksaan untuk dipastikan berkualiti sebelum diedarkan di seluruh cawagan," ujarnya.