• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

300 Pemain Industri Pelancongan Tasik Kenyir Terima Vaksin

HULU TERENGGANU, 22 Julai - Seramai 300 individu yang terlibat dalam industri pelancongan di Tasik Kenyir, di sini, termasuk 200 penduduk sekitar mula menerima suntikan vaksin Covid-19, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata pemberian vaksin kepada kumpulan itu dilihat dapat membantu memulih dan merancakkan semula sektor pelancongan yang terjejas teruk.

"Langkah itu juga membantu meningkatkan keyakinan pelancong untuk bercuti dan mendapatkan perkhidmatan ditawarkan pemain-pemain industri pelancongan di Tasik Kenyir.

"Tasik Kenyir merupakan salah satu produk pelancongan yang sangat popular di Terengganu, dan sekiranya berjaya mencapai status imuniti kelompok, maka ia dapat merancakkan kembali sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Outreach Vaksinasi Sektor Pelancongan di Tasik Kenyir, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Terengganu merangkap Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Rosol Wahid dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Dato' Razali Idris.

Sementara itu, Razali berkata pihaknya sentiasa bersedia dalam mempromosikan kembali pelancongan di Tasik Kenyir agar kembali rancak dengan kehadiran pelancong pada bila-bila masa sahaja.