• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

305 Pelajar Menyertai Tuisyen Rakyat Percuma DUN Paka

DUNGUN, 18 Disember- Seramai 305 orang pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka menyertai Program Tuisyen Rakyat secara percuma.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi, dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat, berkata, kelas pembelajaran alternatif secara percuma khusus untuk calon SPM sangat membantu pelajar yang kurang berkemampuan. 

"Inilah masanya kita kerajaan negeri membantu memberi sokongan dan bimbingan tambahan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan ke empat - empat zon Tuisyen Rakyat yang diadakan di tempat berlainan mengikut zon Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN Paka.

Sehubungan dengan itu, beliau selaku EXCO Pendidikan negeri yang telah melihat pentingnya mengadakan di seluruh 32 DUN Tuisyen Rakyat secara percuma khas untuk pelajar SPM agar mereka tidak tercicir dari menerima proses pengajaran dan pembelajaran (PDP) di luar waktu sekolah.

"Inisiatif ini adalah langkah positif dalam meningkatkan prestasi pelajar dan memberi peluang kepada mereka untuk meraih kejayaan dalam peperiksaan SPM," ujarnya.

Selain itu juga, beliau yang juga ADUN Paka berharap agar program-program bimbingan seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi untuk manfaat pelajar-pelajar negeri ini.

"Hasil yang kita dapat lihat ialah jelas tentang keperluan dan harapan pelajar, dan diharapkan tindakan dapat diambil untuk memastikan kecemerlangan pendidikan di negeri ini terus ditingkatkan.


Tag: