lightning-solid
Berita :
35 Pelajar Terengganu Ke Timur Tengah, Diingat Jauhi Gejala Sosial
35 Pelajar Terengganu Ke Timur Tengah, Diingat Jauhi Gejala Sosial
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
93

KUALA LUMPUR, 29 Ogos — Seramai 35 pelajar Terengganu berangkat ke Timur Tengah bagi melanjutkan pengajian selama empat tahun dengan membawa amanah untuk menuntut ilmu, menjaga akhlak serta mengharumkan nama negeri dan negara.

 Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Ahmad Shah Mohamed berkata, kehidupan jauh daripada keluarga menuntut setiap pelajar mempunyai kekuatan diri bagi mengelakkan pengaruh negatif yang boleh menjejaskan masa depan mereka.

Beliau berkata, antara perkara yang perlu dijauhi termasuk budaya minum arak, perjudian, pergaulan bebas dan pengaruh budaya Barat yang tidak selari dengan nilai serta ajaran Islam.

“Bila duduk jauh di luar negara, sudah pasti kebebasan itu lebih dan tidak ada orang yang boleh memberi pemerhatian secara terus kepada mereka.

“Jadi ia bergantung kepada kekuatan diri masing-masing untuk menjauhi gejala sosial,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Pelajar Terengganu ke Timur Tengah bagi sesi 2026/2027 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ahmad Shah menambah, pelajar turut diingatkan supaya menjauhi pengaruh budaya gay dan lesbian serta ajaran yang terkeluar daripada pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

“Janganlah perkara itu berlaku kepada anak-anak kita. Kita harap mereka dapat menjaga diri dan sentiasa berpegang kepada ajaran agama,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kesemua 35 pelajar berkenaan berada di bawah pengurusan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) untuk urusan kemasukan ke institusi pengajian di Timur Tengah, manakala kos pengajian mereka ditanggung oleh ibu bapa masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, pelajar masih berpeluang memohon bantuan pendidikan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang menyediakan bantuan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di luar negara.

“Walaupun ibu bapa menyediakan perbelanjaan, pihak kerajaan dan MAIDAM masih membuka ruang untuk mereka mendapatkan bantuan.

“Kebanyakan permohonan akan diproses dan insya-Allah ramai yang berjaya mendapat bantuan,” ujar beliau.

Ahmad Shah turut menyeru semua pelajar berkenaan memanfaatkan tempoh empat tahun pengajian dengan menuntut ilmu bersungguh-sungguh serta tidak mensia-siakan peluang yang diberikan.

Beliau berkata, kejayaan akademik semata-mata tidak mencukupi sekiranya ilmu yang diperoleh tidak dapat dimanfaatkan untuk masyarakat apabila mereka kembali ke tanah air.

“Kita harap mereka belajar bersungguh-sungguh, mendapat keputusan terbaik, menguasai ilmu yang diambil dan dapat menyumbang kepada masyarakat apabila kembali ke negeri masing-masing.

“Jangan sia-siakan masa dan rajin mengambil peluang yang ada,” tambah beliau.


Tag :

Artikel Berkaitan