Berita :
40 Atlet SUKMA Terima Insentif Kecemerlangan Akademik
40 Atlet SUKMA Terima Insentif Kecemerlangan Akademik
Mohd Irsyadi Abu Bakar
6 jam yang lepas
105

KUALA NERUS, 15 April - Seramai 40 atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu yang cemerlang dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) baru-baru ini, diraikan dalam satu majlis ringkas yang diadakan di sini, malam tadi.

Bukan sekadar keraian, kerajaan negeri turut menyampaikan insentif kecemerlangan akademik sebanyak RM500 bagi pencapaian 8A ke atas yang diterima oleh 10 atlet, RM300 bagi pencapaian 7A & 6A (10 atlet) serta RM200 bagi pencapaian 5A & 4A (20 atlet) dalam majlis tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, sumbangan insentif dengan nilai keseluruhan sebanyak RM12,000 itu dilakukan bagi menghargai kesungguhan dan komitmen mereka dalam pembelajaran meskipun terhimpit dalam jadual padat serta keletihan dalam sesi latihan untuk SUKMA 2026 di Selangor nanti.

"Kita raikan mereka sebab kita tahu, bukan satu perkara yang mudah untuk mereka capai kejayaan kerana kesibukan 'training', kepadatan jadual, tapi Alhamdulillah, mereka telah menunjukkan satu komitmen yang cukup tinggi dalam akademik mereka. 

"Ada yang berjaya memperolehi 12A, ada yang berjaya memperolehi 11A, 9A ramai," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas majlis berkenaan.

Hadir sama dalam majlis itu adalah Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ahmad Shahrizal Yahaya dan Ketua Kontinjen SUKMA Terengganu merangkap Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan/Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN), Dato' Rosli Latif.

Tambahnya, kejayaan atlet-atlet berkenaan sebenarnya menjadi penanda aras dan contoh kepada atlet-atlet pembangunan dalam bidang pendidikan.

"Mereka menjadi contoh. Untuk pencapaian akademik kita 'tak nak' atlet kita culas dalam pembelajaran dan disiplin perlu tinggilah. 

"Bukan saja dalam pelajaran termasuk dalam 'training' pun. Kalau hendak berjaya perlu kepada disiplin yang tinggi dan semangat yang tinggi. Jadi, begitulah kita harap daripada semua," katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan