Terengganu, TNB Genco Meterai Perjanjian Optimum Sumber Hidro
400 Keluarga di DUN Wakaf Mempelam Terima Sumbangan Ramadan
KUALA TERENGGANU, 28 Februari – Seramai 400 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam menerima sumbangan barangan keperluan asas sempena Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sebanyak RM24,000 diperuntukkan bagi menjayakan program berkenaan yang bertujuan membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan.
"Program ini telah menjadi rutin tahunan kita dan jumlah penerima tahun ini meningkat.
"Situasi ekonomi yang semakin mencabar menyebabkan ramai yang berdepan kesukaran dalam mendapatkan keperluan bekalan makanan yang mencukupi.
“Apa yang disediakan hari ini mungkin tidak bertahan lama sekitar seminggu berpuasa barang-barang ini sudah habis digunakan, tetapi inilah komitmen kita untuk memastikan rakyat dapat merasai sedikit rezeki yang dikongsi bersama,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan tersebut.
Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Ahmad Amzad Hashim yang turut menyampaikan sumbangan serta menzahirkan harapan agar bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban para penerima.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan dalam memastikan kebajikan masyarakat sentiasa diberi perhatian, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan yang menuntut kita agar lebih prihatin terhadap golongan yang memerlukan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Wan Sukairi turut merakamkan penghargaan kepada pasukan Kebajikan DUN Wakaf Mempelam yang terdiri daripada 20 sukarelawan atas usaha mereka dalam menjayakan program ini dengan penuh dedikasi.
“Semoga sumbangan ini memberi manfaat dan keberkatan kepada semua penerima serta membolehkan mereka menjalani ibadah puasa dengan lebih selesa dan tenang,” ujarnya.