lightning-solid
Berita :
4,092 Penempatan Kerja Direkodkan di Terengganu Sepanjang 2025
4,092 Penempatan Kerja Direkodkan di Terengganu Sepanjang 2025
Ahmad Zaeem Zainudin
1 jam yang lepas
44

KUALA TERENGGANU, 23 Julai – Sebanyak 4,092 penempatan pekerjaan direkodkan di Terengganu sepanjang 2025, hasil usaha kerajaan negeri melalui Terengganu Human Resource Development Centre (THRDC) memperluas peluang pekerjaan kepada rakyat, khususnya golongan belia.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, pencapaian itu menunjukkan sasaran kerajaan negeri untuk menyediakan 20,000 peluang pekerjaan dalam tempoh empat tahun berada pada landasan yang baik.

“Bagi tahun 2025 sahaja, sebanyak 4,092 penempatan pekerjaan telah direkodkan di Terengganu.

“Angka ini menunjukkan usaha kita untuk mencapai sasaran 20,000 peluang pekerjaan dalam tempoh empat tahun semakin membuahkan hasil.

“Alhamdulillah, khususnya bagi golongan belia, mereka mempunyai lebih banyak peluang untuk bekerja di negeri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Laporan Kajian Aspirasi Kerjaya Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut Ariffin, pencapaian itu didorong oleh kerjasama erat antara THRDC dengan pemain industri menerusi program libat urus, karnival kerjaya serta pengambilan pekerja secara terus dan bersasar.

Katanya, THRDC menerima respons positif daripada syarikat industri, termasuk permintaan tenaga kerja dalam sektor penerbangan dan tenaga yang sedang berkembang di Terengganu.

“THRDC banyak menjalankan libat urus dengan pihak industri, sama ada melalui karnival kerjaya atau pengambilan secara terus dan bersasar.

“Setakat ini, kita menerima respons yang sangat baik, termasuk permintaan tenaga kerja daripada sektor penerbangan dan tenaga,” katanya


Terbaru, kata beliau, Malaysia Airlines Berhad Engineering Services (MABES) dengan kerjasama Yayasan Terengganu mengadakan sesi temu duga bagi mengisi kekosongan jawatan juruteknik pesawat berlesen.

Dalam sektor tenaga pula, Ariffin berkata, lebih banyak peluang pekerjaan dijangka diwujudkan menerusi pembangunan projek Hydro Hybrid Floating Solar (HHFS) Kenyir dan Combined Cycle Gas Turbine Power Plant (CCGT) Paka.

THRDC, katanya, diberikan tanggungjawab mengurus penglibatan tenaga kerja tempatan, termasuk menyediakan bakat anak Terengganu bagi memenuhi keperluan kedua-dua projek tersebut.

“Lebih 100 peluang pekerjaan dikenal pasti bagi operasi projek CCGT Paka, manakala dalam fasa pembinaan, projek itu memerlukan lebih 1,000 pekerja.

“Bagi projek HHFS Kenyir pula, lebih 800 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan, termasuk dalam fasa pembinaan,” katanya.

Kedua-dua projek berkenaan akan dibangunkan oleh TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) bersama rakan strategiknya.

Ariffin berkata, kerajaan negeri melalui THRDC akan terus meneroka peluang baharu dan memperkukuh kerjasama dengan pelbagai industri bagi memastikan lebih ramai anak Terengganu mendapat pekerjaan.
 


Artikel Berkaitan