• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

4,692 Ibu Tunggal Di Dungun Dalam Perhatian

Delegasi KHAIRUNNISA' diketuai Hajah Siti Zaleha & YPK berkongsi maklumat dan pandangan.
Oleh: Noreini Abu Bakar

Terdapat seramai 4,692 orang ibu tunggal di kawasan Dungun merujuk maklumat yang disampaikan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Dungun.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat (KHAIRUNNISA'), Hajah Siti Zaleha Mohamad berkata, YPK yang mewakili Kerajaan Negeri Terengganu harus bertindak sewajarnya untuk membantu golongan terbabit.

"Kita (KHAIRUNNISA') ingin menjadi penghubung antara YPK dengan masyarakat bagi memantapkan institusi kekeluargaan.

"Segala maklumat harus disampaikan dengan cepat untuk membantu masyarakat khususnya wanita bagi pembentukan modal insan dan pembangunan ekonomi mereka," ujarnya.


Menurut Hajah Zaleha yang juga isteri Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, beliau berpuas hati dengan kunjungan pertama itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam lawatan KHAIRUNNISA' peringkat daerah ke YPK Dungun di Tingkat Satu, Pusat Perniagaan Sura Gate, semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengarah YPK Dungun, Farah Noor Fadhilah Mohd Zuki berkata, YPK mengadakan pelbagai program untuk wanita termasuk Program Ekonomi dan Kemahiran, Bimbingan Kesihatan dan Kemasyarakatan, Bimbingan Perundangan dan Bimbingan Kekeluargaan.

“Di sini juga ada Akademi Jahitan yang terletak di tingkat dua bangunan ini,” ujarnya.



Tag: