KEMAMAN, 15 Februari – Kira-kira 500 keluarga di Kampung Bujal bakal menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil apabila pencawang elektrik baharu siap dibina hasil kerjasama strategik bersama Tenaga Nasional Berhad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata, selepas penantian lebih 20 tahun, pembinaan pencawang tersebut akhirnya berjaya direalisasikan sekali gus menjawab keperluan penduduk setempat yang sekian lama berdepan isu bekalan elektrik tidak stabil.
“Alhamdulillah, pencawang elektrik baharu ini telah siap dibina dan kini hanya tinggal kerja-kerja melibatkan rentangan kabel serta pemasangan dalaman sebelum ia dapat beroperasi sepenuhnya.
“Projek berkapasiti 2,000 kVA ini bukan sahaja akan menyalurkan bekalan elektrik kekal ke Surau Bujal yang sebelum ini menggunakan bekalan sementara, malah turut memberi manfaat kepada kira-kira 500 keluarga di kawasan sekitar,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau perkembangan projek berkenaan yang turut dihadiri wakil daripada TNB serta Pejabat Daerah Kemaman semalam.
Razali berkata, projek tersebut amat penting bagi membantu penduduk membina kediaman dengan lebih sempurna, selain menyokong keperluan asas rakyat serta pembangunan komuniti setempat.
“Insya-Allah, apabila siap sepenuhnya nanti, penduduk berhampiran akan menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil dan selesa.
“Ini adalah antara usaha berterusan kita untuk memastikan kemudahan asas rakyat sentiasa diberi keutamaan,” ujarnya.
Penduduk, Mohammad Zamri Muda, meluahkan rasa syukur atas pembinaan pencawang tersebut yang bakal menyelesaikan masalah bekalan elektrik di Kampung Bujal,
“Projek ini sekali gus memberi keselesaan kepada penduduk setempat dalam menjalani kehidupan harian.
“Dengan adanya bekalan elektrik yang lebih baik, penduduk juga dapat membina rumah dan projek pembinaan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) dapat dijalankan dengan lancar dengan adanya pencawang ini,” ujarnya.
