• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

5,478 Kedai Makan Di Terengganu Diserbu

KUALA TERENGGANU, 7 April - Sebanyak 5,478 kedai di seluruh negeri Terengganu dijalankan pemeriksaan melalui satu Operasi bersepadu “Ops Kedai Makan Tumpuan” Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).

Pengarahnya, Dr Nor Azimi Yunus memaklumkan, berikutan Ops tersebut, sejumlah enam tindakan kompaun dengan nilai RM26,000 dikenakan dengan pemeriksaan dijalankan bermula 13 Mac sehingga semalam.

“Tujuan Ops ini adalah bagi memastikan semua masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh PKPP ini.

“Dari enam tawaran kompaun yang dikeluarkan, lima kompaun telah dijelaskan dengan nilai kutipan sebanyak RM4,015," katanya.

Mengulas lanjut berkenaan Ordinan Darurat (Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, beliau memaklumkan, arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan itu berperanan dalam menangani penularan wabak COVID-19.

"Perintah ini berkuatkuasa daripada 11 Mac 2021 yang merangkumi pindaan lima peruntukan sedia ada dan penambahan lima peruntukan baharu.

“Salah satu pindaan berkaitan pengkompaunan kesalahan. Kadar kompaun asal adalah tidak melebihi RM1,000 dipinda kepada tidak melebihi RM10,000 bagi individu dan RM50,000 bagi pertubuhan perbadanan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, semua lapan pejabat kesihatan daerah di negeri Terengganu telah menjalankan operasi oleh Pasukan Task Force Pematuhan SOP PKPP.

“Operasi adalah serentak dan melibatkan seramai 52 orang anggota penguatkuasa.

“Sepatutnya setiap rakyat mengambil pendekatan kawalan kendiri bagi memastikan jangkitan COVID-19 tidak menular akibat ketidakpatuhan kepada SOP. Penguatkuasaan adalah jalan terakhir.

“Namun pihak jabatan perlu bertindak tegas jika didapati perlangaran SOP berlaku dengan terang," jelasnya.

Sementara itu, pihaknya turut melaporkan sebanyak 14 kesalahan di bawah Akta PPKHT 2004 (merokok di kedai makan) juga dikesan dengan nilai kompaun sebanyak RM3,500.