KEMAMAN, 1 September – Program Jom Chekoh Durian Kijal yang julung kali diadakan di Bukit Kemuning Kijal berjaya menghimpunkan masyarakat setempat dalam suasana santai sambil memperkenalkan serta mengangkat keunikan durian tempatan Kijal.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, pihaknya bersama Jabatan Pertanian akan memperkemaskan usaha bagi memastikan penanaman durian Kijal dapat dikembangkan secara lebih tersusun dan berkualiti.

“Tahun ni saya telah berbincang dengan Jabatan Pertanian untuk ketatkan SOP penanaman durian Kijal dan usaha untuk menanam lebih banyak durian Kijal di sini.
“Sebab itu kita buat pertandingan durian terbaik supaya pihak Jabatan Pertanian boleh buat tinjauan kebun-kebun pemenang.
“Kita cuba usaha apa boleh kita bantu kepada pengusaha kebun durian tersebut,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kijal, berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Jom Chekoh Durian Kijal di Bukit Kemuning Kijal, semalam.
Program berkenaan turut menyediakan kira-kira 600 kilogram durian untuk dinikmati masyarakat, selain hidangan buah-buahan tempatan seperti duku, Rambutan Gading dan Rambutan Kerok Nyor.

Menariknya, program tersebut turut menyaksikan pertandingan durian terbaik yang melibatkan pelbagai jenis durian tempatan termasuk Durian Tebing, Durian Tekoh, Durian Beruk, Durian Tembaga Bukit Kemuning, Durian Gobek, dan sebagainya.
Pertandingan berkenaan dinilai oleh juri jemputan daripada Jabatan Pertanian Daerah Kemaman, sekali gus memberi ruang kepada pihak jabatan mengenal pasti hasil durian berkualiti tinggi yang diusahakan oleh pengusaha tempatan.
Antara durian yang mencuri perhatian dalam pertandingan tersebut ialah Durian Tembaga Bukit Kemuning, Durian Gobek dan Durian Beruk yang dinobatkan sebagai antara durian terbaik program.
Penganjuran Jom Chekoh Durian Kijal bukan sahaja menjadi platform untuk masyarakat menikmati hasil tempatan, malah membuka ruang kepada pengusaha kebun durian untuk mengetengahkan durian terbaik mereka serta memperkukuh potensi durian Kijal sebagai salah satu produk agro-pelancongan dan identiti tempatan Kijal.