• 28 Okt 2020 | 11 Rabiul Awal 1442

63 Mangsa Ribut Terima Bantuan Segera

KUALA NERUS, 18 Oktober – Sebanyak 63 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir yang terjejas akibat kejadian ribut menerima  bantuan segera.

Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Mohd Fadhil Wahab berkata, untuk fasa permulaan kesemua keluarga itu diberikan bantuan atap.

“Kesemua 19 MPKK sudah melaporkan kejadian semalam dan saya meminta mereka menguruskan penghantaran atap dan membaiki segera,” katanya ketika ditemuramah selepas meninjau kawasan kejadian di sini kelmarin.

Menurut beliau, kejadian hujan lebat berserta angin kencang itu turut menumbangkan pokok-pokok dan menyebabkan bekalan elektrik terputus.

Sementara itu, seorang penerima bantuan, Rosmawati Muhammad, 56, terharu dengan tindakan pantas Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru yang terus menyalurkan bantuan selepas kejadian.

“Bantuan ini merupakan bukti bahawa kerajaan hari ini prihatin kerana memahami masalah rakyat,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima bantuan, Fadhil Asyraf, 31, berkata mereka sekeluarga amat terharu dan bersyukur dengan bantuan yang diberikan itu.

“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan terutamanya MPKK kerana mengambil berat isu masyarakat setempat seperti kami yang terjejas akibat bencana angin ribut semalam,” katanya.


Tag: