KEMAMAN, 1 Oktober – Lebih 700 peserta, termasuk dari Thailand, Indonesia, Singapura, Filipina dan Australia, menyertai Kemaman Moto-X Festival 2026 Edisi Ke-17 yang mempertandingkan 33 kategori, sekali gus membuktikan potensi sukan permotoran sebagai tarikan pelancongan sukan (sport tourism) di Terengganu.
Antara kategori yang dipertandingkan ialah MX2 Open International, MX2 Expert Malaysia, MX2 Novice “A”, MX Novice “B” dan MX Novice “C”, melibatkan penyertaan pelumba daripada pelbagai peringkat kemahiran.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Dato’ Razali Idris berkata, penganjuran acara seumpama itu bukan sahaja mengangkat nama Terengganu sebagai destinasi sukan permotoran, malah memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.

“Sukan permotoran bukan sekadar pertandingan, malah pemangkin sport tourism yang mampu merancakkan ekonomi setempat, sektor penginapan dan perniagaan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kemaman Moto-X Festival 2026 edisi ke-17 di Litar Motocross Pantai Teluk Mak Nik Kemaman, semalam.
Dalam pada itu, Razali berkata, Kerajaan Negeri menyasarkan penganjuran Terengganu International Moto-X Festival sebagai acara ikonik (Signature Event) pada 2027, bersempena Tahun Melawat Terengganu 2027.
“In Shaa Allah, kita menyasarkan Terengganu International Moto-X Festival sebagai Signature Event 2027, sempena Tahun Melawat Terengganu 2027, di samping memperkukuh aspek keselamatan, disiplin dan penguatkuasaan,” katanya.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri turut melihat potensi pembangunan kemudahan sukan rekreasi dan litar Moto-X seluas 12 ekar di kawasan bersebelahan Zoo Kemaman sebagai langkah memperkukuh ekosistem sukan permotoran negeri.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penganjuran acara pelancongan dan sukan di Terengganu perlu mematuhi sepenuhnya garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.
Katanya, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana penganjur yang gagal mematuhi peraturan berkenaan dan pihaknya tidak lagi akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran.
“Mana-mana pihak yang melanggar garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri, kita akan ambil tindakan undang-undang terhadap mereka.
“Kita tidak akan berkompromi terhadap mereka lagi,” tegasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kelab Motorsikal Lasak Chukai (KMX), Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu serta semua pihak yang menjayakan festival berkenaan.
Penganjuran acara bertaraf antarabangsa itu diharap dapat terus memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai destinasi pilihan peminat sukan permotoran, selain merancakkan aktiviti pelancongan dan menjana peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.