• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

78 Kes Penipuan Jualan Murah Direkodkan

 


KUALA TERENGGANU, 26 September - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan sebanyak 78 kes berkaitan jualan murah  membabitkan nilai rampasan RM44,604 dan nilai kompaun RM23,150 atas pelbagai kesalahan sehingga Ogos tahun ini.

Timbalan menterinya, Dato' Rosol Wahid berkata, daripada 78 kes ini, 20 kes berlaku sejak kementerian melaksanakan Program Jualan Murah dan Kempen Beli Barangan Malaysia 2020 bermula Julai lalu
membabitkan nilai kompaun sebanyak RM15,000. 

Katanya lagi, pihak kementerian juga menerima 389 aduan mengenai jualan murah sepanjang tahun 2020 ini.

"Antara kesalahan yang biasa dilakukan mempamerkan harga jualan yang mengelirukan contohnya pamer harga lain tetapi jual dengan harga lain.

"Kesalahan lain yang dikesan, ada peniaga yang tidak mempamerkan notis jualan murah dan mengadakan jualan murah tanpa notis.

"Oleh itu saya ingin menasihatkan kepada pembeli sentiasa berhati-hati ketika jualan murah sebelum berbelanja," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Jualan Malaysia(PJM) Dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM)di aras dua, Kuala Terengganu City Centre(KTCC), di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman dan Pengarah KPDNHEP, Shaharuddin Mohd Kia.

Seramai 41 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan 32 outlet yang menyertai PJM dan KBBM 2020 kali ini di Terengganu yang berlangsung dari 24 sehingga 27 September.

Untuk rekod, sebanyak 63,714 outlet di seluruh negara yang mengadakan jualan murah dan daripada jumlah itu, 1,474 outlet di Terengganu.


Tag: