• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

B40 Kini Layak Mohon Kad Sejahtera


KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Golongan B40 dengan pendapatan purata perkapita keluarga di bawah RM280 setiap bulan kini layak membuat permohonan untuk mendapatkan manfaat kesihatan melalui program Kad Sejahtera yang dilancarkan pada Julai tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata ketika ini proses permohonan sedang dilakukan untuk golongan B40 melalui pelbagai termasuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

"Sejak dilancarkan pada Julai 2019, penerima manfaat Kad Sejahtera ialah seramai 12,126 bagi tempoh  hingga Disember 2019.

"Pembayaran yang telah dituntut atas penggunaan yang dibuat oleh pemilik kad sejahtera pula ialah sebanyak RM364,388 bagi tempoh September 2019 hingga 31 Disember 2019 pula," katanya menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wan Hapandi Wan Nik pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini.

Menjawab soalan tambahan Wan Hapandi yang mahukan penjelasan mengapakah jumlah tuntutan sangat sedikit sehingga menggambarkan seolah-olah program itu tidak mendapat sambutan daripada rakyat Terengganu, Dr Alias berkata ia adalah program baharu dan terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi jumlah tuntutan yang sedikit itu.

"Ini mungkin ada yang masih tidak tahu tentang program ini dan saya minta Yang Berhormat perlu berperanan untuk beri penerangan supaya rakyat dapat nikmati manfaat ini.

"Selain itu, jumlah penyertaan klinik swasta juga masih kurang, mungkin sebab mentaliti yang menganggap bayaran kerajaan nanti lambat dan ambil masa tiga atau empat bulan, jadi tak banyak yang mahu jadi klinik panel program ini,"katanya lagi.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk program Kad Sejahtera itu dengan anggaran penerima seramai 20,000 orang setahun. 

 

 


Tag: