• 25 Nov 2020 | 9 Rabiul Akhir 1442

Terengganu Hasrat Jadi Model Kerajaan Digital Pintar - MB

KUALA TERENGGANU, 28 Oktober - Kerajaan negeri berhasrat untuk menjadi kerajaan digital pintar yang praktikal dan mampan menjelang 2030 sebagai persediaan memasuki era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Usaha mencapai hasrat tersebut dibuktikan dengan Terengganu selangkah ke hadapan menyediakan dan melancarkan Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu dan Pelan Strategik Taman Maya AI (AI-Artificial Intelligence) Terengganu, hari ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, mereka yakin ini dapat dicapai dengan Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu yang berasaskan teknologi kepintaran buatan (AI) dan merangkumi 13 strategi pembangunan.

"Bagi menggerakkan Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu, kerajaan negeri juga telah menubuhkan Terengganu Advance Joint Digital Intelligent Developement Corporation (TAJDID Corporation Sdn Bhd).

"Ia akan memfokuskan kepada Agenda Pendigitalan Negeri Terengganu dan Taman AI dengan membuat penyelarasan semula fungsi-fungsi syarikat-syarikat ICT kerajaan negeri yang sedia ada supaya syarikat-syarikat tersebut lebih berdaya saing," katanya pada majlis pelancaran pelan tersebut di sini.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Zainal Abidin Hussin, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman dan Exco-exco Kerajaan Negeri.

Ariffin Deraman.

Sementara itu, menurut Ariffin, sebagai permulaan, beberapa kamera litar tertutup pintar (CCTV pintar) dan lampu isyarat pintar yang mempunyai ciri digital yang lebih canggih akan ditempatkan di lokasi terpilih tahun hadapan.

"Kami telah menguji dan menempatkan CCTV pintar di Masjid Pengadang Baru sebagai projek perintis. Kelebihan CCTV pintar ini adalah dapat memberikan gambaran yang sangat jelas bagi pengunjung sehingga berupaya mengenal pasti wajah, jantina dan usia yang dianggarkan.

"Bagi lampu isyarat pintar, ia akan dipasang di persimpangan Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai sebagai projek perintis tahun hadapan," ujarnya.


Tag: