• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Abdul Hadi Ronda Empat Dun Agih Bantuan Banjir

MARANG, 8 Disember - Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turun ke semua kawasan dalam daerah ini bagi mengagihkan bantuan banjir kepada semua mangsa yang terjejas.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, bantuan yang disalurkan kepada golongan memerlukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Pengkalan Berangan, Bukit Payung dan Alur Limbat tidak mengira latar belakang ideologi.

"Kita sudah berada di dalam kerajaan. Ini kurnia daripada Allah SWT. Sudah tentu kita ada peranan dan jentera kita berjalan dengan elok. Cuma kita kena baiki beberapa kesilapan yang berlaku. Kalau dulu, pemberian bantuan ini ambil kira parti-parti. Parti dia beri bantuan, bukan parti dia tidak diberi bantuan. Kita tidak boleh buat begitu. 

"Tuhan ajar kepada kita untuk adil kepada semua. Tuhan yang Maha Berkuasa itu memberi rezeki kepada semua hamba-Nya, hamba yang beriman, hamba yang kafir, hamba yang munafik, hamba yang baik, hamba yang jahat, yang macam-macam hal, tuhan bagi rezeki belaka. 

"Biarlah serahkan kepada tuhan hukum di hari akhirat. Itu rahmat tuhan dan kita ikut petunjuk tuhan," ucapnya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan peringkat DUN Alur Limbat di Masjid Tasek, di sini baru-baru ini. 

Menurutnya, semua rakyat yang terlibat dengan bencana banjir yang melanda Terengganu baru-baru ini dibantu secara adil tanpa kompromi iaitu tidak memihak mana-mana pihak atau individu tertentu sahaja. 

"Kita mengarahkan jentera-jentera kerajaan turun ke bawah. Sekadar kemampuan yang ada pada kita. Tolong semua orang yang berhajat. Bukan yang tidak berhajat.  Kalau orang tu yang ada kemampuan sendiri dia tidak berhajat kepada bantuan, tidak kena dia mengambil bantuan. Hendaklah beri kepada orang yang berhajat. Orang yang sungguh-sungguh memerlukan pertolongan. 

"Namun mereka yang berhajat pertolongan ini pun mungkin tak cukup, kena cari selalu mereka yang memerlukan. Alhamdulillah banyak pihak yang tolong menyumbang, tolong beri sekadar kemampuan," tambahnya lagi. 

Untuk rekod, keempat-empat DUN di parlimen Marang ini telah diagihkan bantuan yang disampaikan sendiri oleh Ahli Parlimen Marang masing-masing bertempat di Bukit Gasing (DUN Rhu Rendang), Pengkalan Berangan, Atas Tol (DUN Bukit Payung) dan Tasek (DUN Alur Limbat).


Tag: