• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Ada Pihak Mahu Jadikan Malaysia Negara Sekular

KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Ada usaha pihak tertentu mahu menjadikan Malaysia sebagai negara sekular dengan mempertikaikan enakmen jenayah syariah negeri Kelantan di Mahkamah Sivil.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Permerkasaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata pihak berkenaan berusaha untuk menghapuskan mahkamah syariah dengan mengiktiraf mahkamah sivil sahaja.

Katanya pihak tersebut mempertikaikan mahkamah syariah kerana menganggap wujudnya pertembungan antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah.

"Tindakan tersebut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 3 (1) yang menyebut bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan.

"Perkara ini ada kaitan dengan sejarah undang-undang tubuh negeri-negeri dan wilayah Islam dalam Persekutuan Tanah Melayu," jelasnya ketika diwawancara TV Darul Iman di sini hari ini.

Beliau berkata sebelum terbentuk Perlembagaan Persekutuan sudah ada kanun dan undang-undang tubuh negeri-negeri berteraskan Islam.

"Sebelum wujudnya Perlembagaan Persekutuan, Jawatankuasa Lord Reid mengambil kira undang-undang tubuh negeri-negeri dan wilayah Islam dalam Tanah Melayu yang bergabung dalam Persekutuan Malaysia," jelasnya.

Menjelas lanjut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata antara undang-undang tersebut termasuk Kanun Laut Melaka, Kanun Kota Setar, Kanun Pahang dan Undang-undang Tubuh Negeri Terengganu, Itqanul Muluk Bi Ta' Dil Lis Suluk.

"Penemuan Batu Bersurat di Kuala Brang Hulu Terengganu bukan sahaja menunjukkan orang Melayu menerima Islam bahkan telah terbukti berlakunya melaksanaan syariat Islam di negeri Terengganu," ujarnya.
 


Tag: