Jalur Gemilang
Berita :
Adinda Sultan Terengganu Mangkat, Tempoh Berkabung Tiga Hari
Adinda Sultan Terengganu Mangkat, Tempoh Berkabung Tiga Hari
Mastura Jamal Din
58 minit yang lepas
67

KUALA TERENGGANU, 24 Oktober – Adinda kepada Sultan Terengganu, Datuk Seri Dr Tengku Baderul Zaman Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, mangkat pada jam 1.20 pagi ini di Gleneagles Hospital, Kuala Lumpur.

Perkara itu dimaklumkan menerusi pengumuman rasmi yang dibuat dengan titah perkenan Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Menurut kenyataan tersebut, jenazah Allahyarham dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus pada jam 1.15 tengah hari ini menggunakan pesawat khas.

Pemangku Raja Terengganu dijadual berangkat menyambut ketibaan jenazah sebelum dibawa ke Balai Islam bagi membolehkan penghormatan terakhir diberikan.

Solat jenazah akan dilaksanakan selepas solat Asar pada jam 4.13 petang sebelum jenazah dibawa ke Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu untuk Istiadat Pemakaman.

Dalam pada itu, Pemangku Raja Terengganu berkenan mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Oktober 2026.

Sepanjang tempoh berkenaan, seluruh rakyat Terengganu diseru menghormati tempoh berkabung yang telah diisytiharkan sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarham.

Sementara itu, majlis tahlil akan diadakan selama tiga malam berturut-turut di Balai Islam, Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan