lightning-solid
Berita :
ADUN Air Putih Sertai Misi Cari Warga Emas Hilang di Neram 1
ADUN Air Putih Sertai Misi Cari Warga Emas Hilang di Neram 1
Ridhwan Balian
1 jam yang lepas
116

KEMAMAN, 21 Julai – Keprihatinan terhadap nasib seorang warga emas yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu terus dizahirkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam apabila turun menyantuni keluarga mangsa sejak hari pertama kejadian dan sehingga kini turut bersama dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Mangsa, Abdullah Besor, 70, dilaporkan keluar dari rumahnya di Kampung Baru Neram 1, Cheneh kira-kira jam 7 pagi pada Ahad untuk bersarapan di sebuah kedai dalam kampung berkenaan sebelum disedari tidak pulang ke rumah.

Sejak kehilangan mangsa dilaporkan, Mohd Hafiz berkata, beliau sentiasa mengikuti perkembangan operasi selain hadir memberi sokongan moral kepada ahli keluarga yang masih menaruh harapan agar Abdullah ditemui dalam keadaan selamat.

 “Kita memahami kebimbangan yang sedang ditanggung oleh ahli keluarga ketika ini. Kita mendoakan agar urusan pencarian dipermudahkan dan Abdullah dapat ditemui dalam keadaan selamat dan saya akan terus bersama keluarga mangsa serta pasukan penyelamat sepanjang operasi dijalankan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus membantu operasi ini termasuk pasukan keselamatan, agensi terlibat serta penduduk kampung yang sanggup turun padang sejak hari pertama,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi.

Beliau turut menyeru orang ramai agar sama-sama mendoakan keselamatan mangsa serta memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat yang boleh membantu pencarian.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh, Che Ahmad Taqiyuddin Che Yaacob berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut daripada polis pada jam 6.40 petang semalam sebelum operasi SAR digerakkan.

Menurutnya, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah kenderaan utiliti telah dikerahkan ke lokasi.

“Operasi SAR pada hari ini tertumpu di kawasan ladang kelapa sawit dengan radius pencarian dalam lingkungan lima kilometer dari rumah mangsa,” katanya lagi.

Operasi bersepadu itu turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta penduduk kampung yang berganding bahu dalam usaha menjejaki warga emas berkenaan.

Dalam masa sama, penduduk setempat turut berharap agar operasi pencarian yang memasuki hari kedua itu dipermudahkan dan mangsa dapat ditemui secepat mungkin.


Tag :

Artikel Berkaitan