lightning-solid
Berita :
ADUN, JPKK, JPKKP Dan Pemuda Duduk Semeja, Politik Matang Jadi Amalan Di Jabi
ADUN, JPKK, JPKKP Dan Pemuda Duduk Semeja, Politik Matang Jadi Amalan Di Jabi
Hidayah Azlin
19 jam yang lepas
123

SETIU, 12 Ogos - Budaya politik matang sejahtera dan semangat muafakat terus subur di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi apabila pimpinan DUN, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), JPKK Persekutuan (JPKKP) serta wakil anak muda kelihatan mesra duduk semeja dalam satu sesi sembang santai.

Perkembangan harmoni itu dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr Azman Ibrahim menerusi satu hantaran di Facebook rasminya yang menarik perhatian warga tempatan.

Menerusi foto yang dimuat naik, Dr Azman bersembang petang di Kedai Donut Lambong, Kampung Renek dengan mengumpulkan pimpinan akar umbi serta geng pemuda tempatan daripada pelbagai latar belakang kepimpinan kampung.



Antara yang hadir dan duduk bersama di meja berkenaan ialah Pengerusi JPKK Kampung Renek, Norisabri Ismail, Pengerusi JPKK Kampung Kepala Gajah, Nik Hassan; Pengerusi JPKKP Kampung Renek, Mohd Johar Salleh, serta barisan kepimpinan anak muda kawasan setempat.

Kehadiran geng pemuda yang turut serta dalam wacana santai ini memperlihatkan peranan penting golongan muda yang sentiasa seiring dan berdiri teguh bersama pimpinan tempatan demi memajukan kawasan DUN Jabi.

"Jabi kita tenang-tenang saja," jelas Dr Azman.


Selain berkongsi suasana tenang dan perpaduan rentas generasi di kawasan tersebut, Dr Azman turut memuji keunikan sajian tempatan hasil air tangan pengusahanya, Mohd Norul Hamidi Abdul Wahab atau lebih mesra disapa Chef Ayah Teh.

"Nak rasa donut resepi chef tempatan dengan citarasa hotel 5 bintang, boleh cuba Donut Lambong daripada Chef Ayah Teh di Kampung Renek, Jabi.

"Saya dah cuba dan memang terasa melambong-lambong bila makan. Anda boleh cuba sendiri," tambah beliau.

Kebersamaan pimpinan JPKK, JPKKP serta anak muda yang duduk semeja itu bukan sahaja membuktikan keutamaan diberikan kepada keharmonian penduduk setempat, malah menjadi platform sokongan kukuh kepada produk keusahawanan tempatan di Jabi.



Tag :

Artikel Berkaitan