Berita :
ADUN Kota Putera Edar 150 Bungkus Sahur, Santuni Petugas Syif Malam
ADUN Kota Putera Edar 150 Bungkus Sahur, Santuni Petugas Syif Malam
Mastura Jamal Din
3 jam yang lepas
61

BESUT, 5 Mac  – Prihatin terhadap pengorbanan petugas yang bekerja pada waktu malam sepanjang Ramadan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera,  turun padang menyertai program Singgah Sahur di sekitar DUN berkenaan, semalam.

Mohd NurKhuzaini Ab.Rahman berkata, program tersebut dilaksanakan bersama pemuda DUN Kota Putera dengan menaiki motosikal bagi meronda beberapa lokasi tumpuan sebelum singgah menyantuni petugas yang sedang menjalankan tugas.

“Alhamdulillah, pada malam ke-14 Ramadan ini, kami berkesempatan menyantuni petugas-petugas yang bekerja pada waktu malam. Dalam program Singgah Sahur ini, kami singgah di beberapa lokasi untuk bertemu mereka dan menyampaikan sedikit sumbangan.

“Sebanyak 150 bungkus makanan sahur telah diagihkan kepada para petugas yang bertugas pada malam tersebut,” katanya dalam satu kenyataan dalam laman sosial rasmi beliau.

Menurutnya, program Singgah Sahur itu telah menjadi aktiviti tahunan setiap kali menjelang Ramadan sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang tetap komited menjalankan tanggungjawab demi masyarakat walaupun ketika orang lain sedang berehat.

Beliau berharap sumbangan yang diberikan sedikit sebanyak dapat menceriakan serta menyuntik semangat kepada para petugas untuk terus berkhidmat.

“Terima kasih atas pengorbanan dan khidmat bakti yang dicurahkan.

" Semoga segala usaha ini menjadi amal kebajikan dan kita semua diberikan kesihatan, kekuatan serta keberkatan sepanjang menjalani ibadah di bulan Ramadan yang mulia ini, Insya-Allah,” ujarnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan