lightning-solid
Berita :
ADUN Paka Ziarah Keluarga Allahyarham Akim dan Sufian
ADUN Paka Ziarah Keluarga Allahyarham Akim dan Sufian
Amiirullah Mansor
2 jam yang lepas
58

DUNGUN, 27 Julai – Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Dato’ Satiful Bahri Mamat, menziarahi keluarga Allahyarham Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan atau lebih dikenali sebagai Akim serta Allahyarham Che Mohd Sufian Che Ghani.

Kedua-duanya merupakan antara empat penunggang motosikal Yamaha RXZ yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), menghala ke Kemaman pada awal pagi 11 Julai 2026.

Kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi itu membabitkan 12 motosikal dan sebuah kereta. Selain empat mangsa yang terkorban, seramai 20 mangsa lain dilaporkan mengalami kecederaan dan menerima rawatan di dua buah hospital di Kuantan.

Menurut Satiful, tiada kata-kata yang benar-benar mampu menghilangkan kesedihan sebuah keluarga selepas kehilangan insan yang disayangi secara tiba-tiba.

“Kehadiran kami mungkin tidak dapat mengubat kesedihan yang ditanggung, namun kami berharap ziarah singkat ini dapat memberi sedikit kekuatan kepada seluruh ahli keluarga.

“Kami mahu mereka tahu bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi ujian yang amat berat ini. 

"Masyarakat sentiasa bersama-sama mendoakan dan memberikan sokongan kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham Akim dan Allahyarham Sufian meninggalkan keluarga serta insan tersayang yang pastinya amat terasa dengan kehilangan tersebut.

“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa kedua-dua Allahyarham, melapangkan kubur mereka dan menempatkan mereka dalam kalangan hamba-Nya yang beriman.

“Semoga Allah juga mengurniakan kesabaran, ketabahan dan kekuatan yang berpanjangan kepada seluruh ahli keluarga untuk meneruskan kehidupan selepas kehilangan insan tersayang,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat agar terus mendoakan kedua-dua Allahyarham dan memberikan ruang serta sokongan kepada keluarga mereka sepanjang melalui tempoh berduka.

Allahyarham Che Mohd Sufian, 40, dan Allahyarham Muhammad Hafiz Al Hakim, 33, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian bersama seorang lagi mangsa, manakala mangsa keempat meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.


Tag :

Artikel Berkaitan