• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Agrobazar Buka Peluang Pasarkan Produk Usahawan Tempatan

BESUT, 22 Februari – Kewujudan Agrobazar sebagai hab pemasaran dan jualan produk tempatan berpotensi meraih pendapatan lebih buat usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ia juga dilihat mampu memenuhi keperluan barangan harian dengan harga lebih murah.

"Agrobazar pertama di Besut menyasarkan hasil jualan sebanyak RM5,000 sehari dan akan meningkat dari semasa ke semasa.

"Sasaran utama juga supaya Agrobazaar ini menjadi pusat pemasaran produk tempatan sama ada dalam bentuk IKS atau produk lain. Bagi memastikan matlamat tersebut tercapai, pihak kami mencadangkan sebuah ‘database’ bagi mengumpul maklumat pengusaha tempatan melalui pelbagai jabatan berkenaan, merangkumi produk lokal dan asas tani dari kawasan tepi pantai hingga ke pedalaman.

“Tujuannya supaya Agrobazaar menjadi pusat pemasaran utama dan teratur, menarik pengunjung dan menyokong IKS di sekitar kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program Mybest Buy Agrobazar di PTK Nyiur Tujuh, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah FAMA Terengganu, Che Ghani Che Wan dan Pengarah Pertanian Negeri, Zulkepli Amin Mat Jusoh.

Tambah Dr Azman, Agrobazar tersebut kini membekalkan 30 peratus produk IKS dan bumiputera terdiri daripada sejuk beku, sayur-sayuran segar dan produk buatan tempatan dengan harga rendah berbanding di pasaran luaran.

“Insya-Allah dengan ‘pilot project’ yang diterajui FAMA ini adalah langkah pertama membuka ruang kemudahan pasaran dan serta peluang pekerjaan untuk penduduk sekitar,” jelasnya.

“Sebelumnya, bangunan Pasar Tani Kekal Nyiur Tujuh telah siap dibina tiga tahun lepas namun tidak dimanfaatkan secara optimum, hasilnya kerajaan negeri bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu menjadikan tapak ini sebagai Agrobazaar pertama di Besut.

Untuk rekod, Agrobazaar Nyiur Tujuh telah dibuka pada 1 Februari 2021 kini mencatatkan nilai jualan sebanyak RM52,364.37 sehingga 12 Februari tahun tersebut.