• 24 Jul 2024 | 17 Muharam 1446

Ahli Parlimen Pembangkang Kecewa Dengan Speaker Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 10 Julai - Ahli Parlimen Perikatan Nasional menyatakan kekecewaan dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat berkenaan bekas enam Ahli Parlimen parti itu yang melompat parti.

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Dato' Muhyiddin Mohd Yassin pada sidang media hari ini berkata, beliau telah menerima surat daripada Speaker Dewan Rakyat pada petang semalam berhubungan perkara mendukacitakan itu.

Katanya, surat tersebut menyatakan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk keenam-enam kerusi bekas Ahli BERSATU yang telah melompat parti.

"Kami amat kecewa dengan keputusan yang di berikan kerana bercanggah dengan peruntukan tersurat dan tersirat Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan sedangkan beliau telah berikrar untuk menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Negara."

"Peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik tersebut.

"Dalam situasi ini, jelas bahawa enam Ahli Dewan Rakyat tersebut tidak lagi menjadi ahli BERSATU berikutan dengan peruntukan peruntukan perlembagaan BERSATU. 

"Keputusan YB Speaker adalah bercanggah dengan peruntukkan undang-undang dan telah bertindak di luar bidang kuasa beliau dalam membuat tafsiran yang songsang. Hanya mahkamah mempunyai bidangkuasa untuk mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Tegas Muhyiddin, beliau menyeru Speaker Dewan Rakyat untuk menegakkan tujuan dan hasrat sebenar peruntukan 49A Perlembagaan Malaysia yang bertujuan mengekang perbuatan-perbuatan khianat ahli Dewan Rakyat yang menodai mandat rakyat semasa pilihan raya.

"Seperti mana kata-kata YDP Speaker semasa beliau menjadi pembangkang yang dipetik dalam hansard Dewan Rakyat bertarikh 27 Julai 2022 di muka surat 85, ketika membahaskan RUU Pindaan Perlembagaan bagi menghalang Ahli Parlimen melompat parti.

 “Inilah satu-satunya undang-undang yang boleh menyekat kita daripada terus menjahanamkan negara kita. Tidak kiralah sama ada sebelah sini (pembangkang) atau sebelah sana (kerajaan) tetapi ini harus terhenti di sini,”

"Hakikatnya, keputusan YDP Speaker ini sendiri telah mengkhianati semangat dan hasrat murni pindaan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan bagi menghalang Ahli Parlimen melompat parti," jelas beliau.


Tag: