• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Ahli Politik Dalang 'Drama Murahan' Jatuhkan PAS

KUALA TERENGGANU, 1 Ogos - PAS Terengganu menegaskan isu 'drama murahan' membabitkan calon PAS Kemasik dengan seorang wanita yang ditimbulkan menjelang hari pengundian didalangi ahli politik tertentu.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata pihaknya percaya perkara itu telah dirancang lama dan ia dimainkan bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap PAS.

"Perkara ini tiba-tiba muncul, kami mendapat maklumat drama ini didalangi oleh pihak tertentu, pada kebiasaan apabila mereka kehabisan modal, akan timbulkan isu-isu peribadi dan saya yakin sebaik sahaja selesai pilihan raya dia akan berakhir begitu sahaja.

"Sejarah sebelum ini membuktikan, pada PRU ke-4, PRU ke-13 pimpinan PAS diserang isu-isu peribadi tetapi akhirnya tiada tindakan pun diambil setelah berakhir pilihan raya.

"Kalau ada isu boleh bawa ke Pejabat Agama untuk tindakan pihak berwajib, jadi ini satu tindakan yang tidak 'gentleman', sangat tidak bertamadun, madani jauh sekali dalam kempen untuk meraih undi rakyat Terengganu," ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu, berkata demikian pada sidang media di Pejabat Perhubunagn PAS negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, memang kempen murahan itu bermatlamat untuk menjejaskan kredibiliti calon untuk mengalihkan sokongan rakyat yang pada ketika ini berpihak kepada PAS.

"Mainan politik menjelang pilihan raya, kalau ada bukti kukuh boleh terus ke pejabat agama, buat masa ini (didapati) ia hanya isu politik yang direka, kalau betul kenapa isu ini sebelum ini tidak didedahkan dan hanya ditimbulkan selepas penamaan calon.

"Saya rasa rakyat Terengganu cerdik dan setiap kali menjelangnya pilihan raya isu ini ditimbulkan bagi mengaibkan calon-calon, ini strategi kotor daripada pihak musuh, kita tidak pernah gunakan isu sebegitu untuk lawan calon musuh, kita hanya bagitahu apa yang telah dibuat dan akan dibuat untuk rakyat," ujarnya.

Tambah Dr Alias, pemilihan calon Kemasik itu telah melalui tapisan ketat dan segala perkara mengenai dirinya telah diteliti dengan sangat mendalam sebelum dipilih oleh kepimpinan.

"Isu ini jika dipanjangkan akan mengaibkan orang tidak bersalah jadi ia merupakan perkara yang tidak baik sebagai orang Islam.

"Saya difahamkan beberapa tindakan telah diambil oleh calon, sekiranya tidak berhenti menyebarkan berita palsu ini dia akan mengambil tindakan saman, calon berani buat tindakan tersebut bermakna dia (menyatakan) tidak bersalah," ujarnya.