• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Ahmad Razif Doakan Ramadhan Sembuh

Ramadhan dan ibunya sempat beramah mesra bersama Ahmad Razif di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman mendoakan agar pesakit leukemia tahap empat, Ahmad Ramadhan Alias, 20, dapat mengerjakan umrah dengan lancar apabila berada di tanah suci selama 10 hari bermula esok.

Ahmad Razif yang ditemui berkata, Ramadhan telah menyatakan hasratnya untuk melakukan ibadah umrah dalam satu pertemuan dengannya dan kerajaan negeri telah bersetuju untuk membiayai segala kosnya ke tanah suci itu.

Katanya, Ramadhan yang turut ditemani oleh ibunya, Saibah Yaacob, 58, bertolak ke Kuala Lumpur pada petang tadi dan dijangka akan berangkat ke tanah suci untuk mengerjakan umrah esok.

“Jadi kita doakan agar Ramadhan serta ibunya mendapat umrah yang mabrur dan semoga doa mereka dimakbulkan.

“Dan kita doakanlah agar sekembalinya Ramadhan dari mengerjakan umrah, diharapkan beliau diberi kesihatan yang baik dan penyakit leukemia yang dihadapinya dapat sembuh,” katanya.


Beliau ditemui pemberita ketika menghantar Ramadhan dan ibunya untuk menunaikan umrah di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus, hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina Zakaria dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Roslee Daud.

Sementara itu, Ramadhan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri terutamanya Menteri Besar yang membantu beliau mencapai hasratnya untuk menunaikan umrah.

Katanya yang begitu teruja untuk ke tanah suci itu berkata apabila sampai ke sana beliau akan memohon doa supaya dipanjang umur serta dimurahkan rezeki kepada pihak yang menaja perbelanjaannya sepanjang berada di sana.

Ramadhan telah disahkan menghidap leukemia pada Jun tahun lalu apabila melakukan pemeriksaan di salah sebuah hospital.

Menurut Ramadhan, pakar perubatan memberi tempoh selama empat bulan kepadanya untuk terus hidup.

Tag: