• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Ahmad Samsuri, Annuar Musa Calon PN Parlimen KT?

SETIU, 20 Julai - Nama Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar musa terus berlegar di media sosial sebagai calon yang akan mewakili PAS untuk Parlimen Kuala Terengganu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti.

Menurut Ahmad Samsuri, beliau menyifatkan perkara itu hanya khabar angin yang disensasikan oleh pelbagai pihak menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (Negeri) dan PRK Kuala Terengganu.

"Saya dengar macam-macam, bukan Tan Sri Annuar Musa sahaja, ada nama-nama lain turut disebut, spekulasi yang berlegar di media sosial serta yang berlegar dalam mesyuarat itu cerita lain.

"Jadi kita tidak boleh menghalang mana-mana pihak untuk membuat sebarang spekulasi di media sosial, Setakat ini saya tidak mempunyai maklumat (mengenai calon yang akan dipertaruhkan)," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbarnya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Rumah Pekerja, di Ladang Jaya Sungai Tong, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau yang juga merupakan Naib Presiden PAS itu berkata, Perikatan Nasional (PN) membuka peluang sama ada calon import atau tempatan sebelum dimuktamadkan.

"Terbuka, yang penting pada data dan analisa kita dan gerak kerja pilihan raya menunjukkan dia boleh menang, sesuai untuk jadi wakil kepada rakyat bagi menyampaikan suara kepada pihak atasan," katanya.