• 27 Okt 2021 | 20 Rabiul Awal 1443

Aiman Kuasai Litar Himpunan Bermotor Anak Muda Terengganu 2020

KUALA NERUS, 28 Disember – Bermula dengan sebagai 'mat rempit' dan kini beralih arah sebagai pelumba pecut litar, Mohd Aiman Izzudin mengungguli kategori ‘sprint test’ 125 OEM di Himpunan Bermotor Anak Muda Terengganu 2020, Litar Permotoran Terengganu, petang kelmarin.

Anak kelahiran Rasau, Dungun itu berjaya memenangi pusingan final dengan tempat pertama mewakili pasukan MSB Garage bersama jentera lumba Yamaha 125, dengan masa 7.4 saat menewaskan lawannya daripada Team Pak Tam Speed dengan kemenangan tipis 7.5 saat 201 meter.

Berat badannya yang ringan dan keupayaan dalam mengawal pecutan menyebabkan bakatnya diburu tiga pasukan lain untuk mewakili jentera mereka dalam empat kategori lain.

“Saiz saya sesuai untuk kelajuan dan walaupun sekeliling amat sengit, tapi kepercayaan saya adalah kepada jentera dan diri sendiri kerana 'rider' itu sendiri amat penting dalam menentukan kemenangan malah dalam pertandingan sebelum ini pun pernah dapat kedudukan podium.

“Minat saya dalam permotoran ini bermula sewaktu umur 15 tahun tapi dulu jadi pelumba haram, tapi apabila mencecah usia 17 tahun, saya mula menceburi bidang permotoran dalam litar pula," katanya.

Mengulas tentang reaksi keluarganya, Aiman berkata kedua ibu bapa sentiasa memberi sokongan  dan datang menyaksikannya beraksi di pertandingan dalam negeri sehingga ke Melaka dan Perak.

Kejohanan seterusnya buat anak sulung kepada empat beradik itu adalah bertanding di Litar Antarabangsa Sepang dalam Musc-Sic Sepang Drag Battle 2020 pada awal Januari tahun hadapan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penganjuran sukan permotoran tersebut mengumpulkan lebih 100 orang pelumba majoriti anak Terengganu.

“Pasukan daripada negeri lain seperti Perlis, Kedah, Johor dan Kelantan turut terlibat menunjukkan sambutan cukup hebat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Perasmian Penutup Program Himpunan Bermotor Anak Muda Terengganu 2020 anjuran Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) dan Koperasi Permotoran Negeri Terengganu di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Nerus, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah UBSNT, Mohd Nasir Abd Razak, Timbalan Pengarah Jabatan Belia Sukan (JBSNT) Negeri, Mohmad Embong dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.

Mengulas lanjut mengenai usaha kerajaan negeri dalam memajukan lagi industri sukan permotoran, Sukairi berkata, Belanjawan 2021 akan menyediakan peruntukan kira-kira RM500,000 khusus pada peringkat akar umbi

“Ini khusus bagi mendidik dan membimbing minat anak muda kepada pembangunan sukan permotoran dalam negeri,” katanya.

 


Tag: