• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Air Cendol Tengah Bandar Punca Rezeki Pak Safril


Syawal memberi limpahan rezeki buat seorang warga emas yang mengusahakan jualan air cendol di tengah pusat Bandar Raya Kuala Terengganu apabila banyak menerima tempahan terutama untuk majlis rumah terbuka.
 
Mengekalkan resepi tradisional dan hanya menggunakan bahan asli, perniagaan diusahakan Safril Dalil, 60, atau dikenali sebagai Pak Safril sejak 30 tahun lalu mampu memberi pulangan berlipat kali ganda setiap kali kedatangan Aidilfitri.
 
Warga emas yang berasal dari Wakaf Mempelam itu berkata, lazimnya pada hari biasa dia hanya menjual sekitar 100 gelas air cendol, namun pada bulan Syawal dia terpaksa menggandakan bahan yang dijual disebabkan permintaan tinggi.
 
“Pakcik jual air cendol ini sudah lama sejak anak baru pandai merangkak dan sekarang dia pun dah mempunyai anak sendiri, pakcik masih kekal berniaga sebagai mata pencarian utama keluarga dengan dibantu isteri.

"Inilah pekerjaan pakcik dari dulu sampai sekarang dan Alhamdulillah dengan rezeki ini kerana kalau tidak kita sendiri berusaha mana mungkin dapat menyara kehidupan sehingga anak-anak dewasa dan berdikari sendiri,” ujar bapa kepada empat orang anak itu kepada Teganukita, hari ini.
 
Safril berkata, bagi menjamin kualiti yang terbaik untuk pelanggan, dia masih mengekalkan bahan-bahan tradisi seperti manisan gula melaka, kacang merah, cendul dan juga pulut yang mampu memenuhi selera pelanggan.

"Alhamdulillah musim raya ini permintaan terhadap cendol pakcik agak memuaskan, termasuk untuk majlis rumah terbuka, perkahwinan, jamuan keluarga dan sebagainya,” ujarnya yang turut menjual rojak buah dengan menggunakan motosikal, selain dibantu abangnya setiap kali menjalankan urusniaga itu.

Tag: