• 14 Okt 2024 | 11 Rabiul Akhir 1446

AirAsia Tawar Penerbangan Terus Dari Kota Kinabalu Ke Kuala Terengganu

KUALA NERUS, 30 Januari - Syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia, AirAsia Berhad (AirAsia) menyasarkan peningkatan dalam sektor pelancongan domestik selepas melakukan kerjasama dengan kerajaan negeri melalui pembukaan laluan penerbangan secara terus dari Kota Kinabalu ke Kuala Terengganu, bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata perkembangan itu akan membantu merancakkan kembali industri pelancongan negeri selepas terjejas teruk akibat  pandemik Covid-19.

Katanya, inisiatif tersebut juga diyakini dapat membantu meningkatkan kemasukan tiga juta pengunjung ke Terengganu sebagaimana disasarkan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada AirAsia kerana memilih Terengganu sebagai salah satu laluan baharunya.

"Justeru itu, saya mengajak rakyat untuk mengambil peluang bercuti ke Sabah dan sebaliknya," ujarnya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas menyambut penerbangan sulung AK5310 yang membawa 59 penumpang pertama yang berlepas dari Kota Kinabalu  pada jam 3.15 petang dan tiba di Kuala Terengganu pada jam 5.40 petang di Lapangan Terbang  Sultan Mahmud, di sini hari ini.

Tambah Ariffin, pihaknya akan terus menyokong AirAsia dan berharap untuk terus bekerjasama pada masa hadapan bagi mempromosikan industri terbabit.

"Kita telah mengemukakan cadangan kepada AirAsia untuk menambah laluan baharu dari Kuching, Pulau Pinang termasuk mengembalikan semula penerbangan dari Senai, Johor ke Kuala Terengganu," ujar beliau lagi.

Katanya, sehingga kini Terengganu merekodkan sebanyak 12 penerbangan  dalam sehari, yang merupakan tertinggi pernah direkodkan selepas pandemik Covid-19.

Sementara itu, Ketua Komersial AirAsia, Nur Liyana Mahizzan berkata penerbangan antara Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu berlepas pada setiap hari Ahad dengan tambang promosi sehala serendah RM128 sahaja hingga 14 Februari ini. 

Tambah beliau, selain laluan Kota Kinabalu-Kuala Terengganu, pihaknya juga telah melancarkan tiga laluan baharu dalam usaha untuk memacu pelancongan domestik.

"Laluan Kuching-Langkawi, Johor Bahru-Bintulu dan Pulau Pinang-Sibu yang diperkenalkan pada awal bulan Januari juga salah satu persediaan untuk pihak kami kembali menyediakan laluan antarabangsa," ujarnya.