lightning-solid
Berita :
'Akhirnya Ada Tempat Berteduh, Terima Kasih MB'
'Akhirnya Ada Tempat Berteduh, Terima Kasih MB'
Adli Mohamad
11 jam yang lepas
218

MARANG, 14 Disember - Penantian untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya tamat buat lapan keluarga di Kampung Medan Jaya di sini apabila Kerajaan Negeri Terengganu menyerahkan rumah Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) hari ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, serahan itu sekali gus memberi sinar baharu kepada keluarga yang sekian lama berdepan kesusahan, termasuk tiga yang sebelum ini menjadi mangsa kebakaran.

Katanya, lapan buah rumah yang siap dibina itu diserahkan kepada penerima yang layak merangkumi golongan kurang bernasib baik, Orang Kelainan Upaya (OKU) serta keluarga miskin yang benar-benar memerlukan tempat tinggal yang selesa dan selamat.

“Setiap rumah bernilai RM75,000 itu dibina sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela, walaupun berdepan cabaran ekonomi semasa.

“Peruntukan untuk menyiapkan rumah ini bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi dalam keadaan kos bahan binaan seperti besi, simen dan pasir yang semakin meningkat.

“Namun, kerajaan negeri akan terus berusaha meminimumkan kos agar lebih ramai rakyat dapat menikmati dan mendiami rumah seperti ini,” katanya.

IMG_20251214_185341_674.jpg 3.26 MB
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penyerahan rumah PPTS DUN Rhu Rendang di Kampung Medan Jaya, Rusila, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Samsuri berkata, penyediaan rumah kebajikan seperti PPTS mencerminkan sikap proaktif kerajaan negeri dalam membantu rakyat yang berdepan kesukaran hidup serta memberi peluang kepada mereka untuk memulakan kehidupan yang lebih stabil.

“Kita memberi komitmen kepada rakyat di kesemua 32 DUN di Terengganu. Kerajaan negeri akan melihat perkembangan bajet Rumah Sejahtera ini dan sekiranya memerlukan pertambahan peruntukan, kita akan menambahnya melalui kewangan negeri,” ujarnya.

IMG_20251214_185441_147.jpg 1.88 MB
Katanya, usaha menambah bilangan rumah seumpama itu di setiap DUN akan diteruskan pada tahun-tahun mendatang berdasarkan peruntukan bajet yang diluluskan, selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada bantuan asas perumahan.

Sementara itu, penerima rumah PPTS, Zamzaimi Zakaria, 54, meluahkan rasa syukur apabila impian memiliki rumah sendiri akhirnya menjadi kenyataan selepas sekian lama menunggu.

“Rumah ini dibina oleh kerajaan negeri di atas tanah ayah saya. Dengan adanya rumah ini, saya, isteri dan lapan orang anak akhirnya mempunyai tempat berteduh yang selesa.

“Selama ini saya memohon Rumah Mampu Milik, tetapi rezeki belum berpihak. Alhamdulillah, hari ini saya sudah memiliki kediaman sendiri. 

“Saya tidak mampu mengucapkan apa-apa selain rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan negeri, khususnya Menteri Besar Terengganu,” katanya.



Tag :

Artikel Berkaitan