• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Aksi Babak Kedua Selamatkan Terengganu FC

RABU, 17 Mac- Kecemerlangan aksi separuh masa kedua menyelamatkan Terengganu Football Club (Terengganu FC) dari kehilangan mata apabila seri 1-1 menentang Melaka United  dalam aksi keempat Liga Super Malaysia 2021, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini.

Di atas kertas, skuad kendalian Nafuzi Zain yang merakamkan tiga kemenangan sebelum ini dilihat lebih ampuh berbanding anak buah Zainal Abidin Hassan yang belum mencatatkan sebarang kemenangan pada tiga aksi terawal musim ini.

Namun, tuan rumah dikejutkan seawal minit kedua apabila serangan balas pelawat menghasilkan penalti setelah terkena tangan pertahanan, Muhamad Hafizal Mohamad.

Penyerang import Melaka, Alex Dos Santos cemerlang menyempurnakan tendangan tersebut dan memastikan pelawat selesa di depan.

Sang Kancil terus menguasai perlawanan dan selesa melakukan asakan ke kubu Sang Penyu  sehingga tamat babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Nafuzi melakukan perubahan drastik dengan memasukkan Faiz Nasir, Azalinullah dan Arif Fadzilah bagi menguasai perlawanan.

Namun, percaturannya hampir terganggu apabila Azalinullah terpaksa digantikan dengan Shahril Sapien pada minit ke-54 akibat kecederaan.

Tuan rumah mula banyak mengatur serangan bagi menyamakan kedudukan.

Pada minit ke-65, Marcel yang mendapat bola daripada Arif Fazilah melorongkan bola kepada Jordan yang mudah menewaskan pertahanan lawan sebelum merembat rendah bola melepasi jangkauan Khairul Fahmi.

Kedudukan kekal 1-1 sehingga tamat perlawanan.

 


Tag: