KUALA TERENGGANU, 30 Mac – Pelaksanaan Akta 672 dan pengurusan sisa pepejal di Terengganu kini berada di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan sedang menunggu pembentangan kertas Kabinet untuk keputusan lanjut.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihak kementerian telah menyiapkan kertas Kabinet berhubung Akta 672, namun tarikh pembentangannya masih belum dimuktamadkan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri kini menunggu perkembangan lanjut daripada pihak KPKT berhubung perkara tersebut.
“Seperti yang dimaklumkan, urusan ini berada di pihak KPKT dan saya difahamkan mereka telah menyiapkan kertas Kabinet untuk dibentangkan. Kita tunggu bila ia akan diangkat, setakat ini belum ada tarikh,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan tahap pengurusan kutipan sisa pepejal di negeri ini adalah memuaskan walaupun masih terdapat beberapa lokasi yang mengalami lambakan sampah.
“Saya berpuas hati dengan program pungutan sampah di tempat-tempat pembuangan, walaupun ada satu dua kawasan yang kita lihat berlaku lambakan yang agak banyak,” katanya.
Sementara itu, beliau menambah sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri di DUN Wakaf Mempelam terus mendapat sambutan luar biasa apabila kehadiran pengunjung tahun ini dijangka mencecah antara 7,000 hingga 9,000 orang.

Menurut beliau lagi, setiap kali program rumah terbuka diadakan, sambutan yang diterima sentiasa menggalakkan khususnya daripada rakyat di DUN Wakaf Mempelam dan tetamu jemputan dari luar.
“Alhamdulillah, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang hadir memeriahkan sambutan pada tahun ini,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa program tersebut bukan sahaja menjadi medan meraikan Aidilfitri, malah menjadi platform mendekatkan wakil rakyat dengan masyarakat setempat.
Tambah Wan Sukairi, pelbagai juadah disediakan termasuk makanan tradisional Terengganu, dengan antara yang menjadi tarikan ialah kuih loklik yang jarang ditemui.

Kata beliau, program rumah terbuka itu telah dianjurkan sejak sekian lama secara konsisten setiap tahun, kecuali ketika tempoh pandemik COVID-19 berikutan larangan penganjuran majlis.
Tag :