• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

AmanahRaya Dedah Masyarakat Perancangan Dan Pengurusan Harta

Pegawai AmanahRaya, Ustaz Mohd Syazwan Mohd ketika menyampaikan ceramah Perancangan dan Pengurusan Harta (Faraid, Hibbah, Wakaf, Sedekah dan Nazar) bertempat di Masjid Haji Abdul Rahman Limbong, Hulu Terengganu, semalam.

AmanahRaya Negeri Terengganu menganjurkan Ceramah Perancangan dan Pengurusan Harta (Faraid, Hibbah, Wakaf, Sedekah dan Nazar) bertempat di Masjid Haji Abdul Rahman Limbong, Hulu Terengganu, semalam.

Pengurus Kanan Wilayah Timur AmanahRaya, Tuan Noraizan Tuan Long berkata, program julung kali diadakan untuk menyedarkan kepentingan penyelesaian dan pengurusan harta pusaka itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.


“Kira-kira 200 orang mengikuti ceramah yang berfungsi sebagai wadah untuk masyarakat menimba ilmu berkaitan hal perancangan dan pengurusan harta pusaka,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Tuan Noraizan berkata, selain mendedahkan peserta program mengenai pengetahuan mendalam isu-isu dan cabaran yang timbul daripada harta terutama yang berkaitan dengan harta pusaka orang Islam, ceramah yang mendapat kerjasama jawatankuasa masjid terbabit juga turut memberi maklumat kepada orang ramai tentang permasalahan dan kaedah penebusan harta pusaka Islam.


Katanya, masyarakat perlu didedahkan dengan cara pengagihan harta semasa hidup sebagai perancangan awal pengagihan harta bagi mengelakkan masalah yang bakal timbul kepada harta yang ditinggalkan selepas kematian mereka.

“Ini memandangkan, masalah tunggakan harta pusaka boleh mendatangkan implikasi yang buruk dari perspektif ekonomi, undang-undang, agama dan sosial,” ujarnya.

Tag: